Keyfield jangka pemulihan penggunaan kapal pada suku kedua FY2026 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield jangka pemulihan penggunaan kapal pada suku kedua FY2026 - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Mei - Keyfield International Berhad menjangka kadar penggunaan kapal akan pulih secara berperingkat mulai suku kedua FY26, disokong oleh beberapa kapal yang mula beroperasi semula sejak pertengahan April, menurut TA Securities

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan menyasarkan kadar penggunaan sekitar 70% pada 2QFY26, sebelum meningkat kepada kira-kira 80% pada suku ketiga dan keempat FY26.

 

"Sekali gus mencerminkan pemulihan operasi selepas gangguan musim monsun serta isu kapal tidak beroperasi (off-hire) pada suku pertama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, Keyfield mencatatkan kerugian kasar RM16.03 juta pada 1QFY26,  berbanding keuntungan kasar RM34.8 juta pada tahun sebelumnya terutamanya dipengaruhi oleh kos bahan api yang tinggi ketika kapal berada dalam keadaan off-hire, tanpa sebarang sumbangan hasil.

 

Keadaan ini turut diperburuk oleh harga minyak yang lebih tinggi pada tempoh tersebut.

 

TA Securities berkata, namun begitu, pihak pengurusan menjelaskan impak tersebut adalah bersifat sementara, memandangkan kos bahan api dijangka akan ditanggung oleh penyewa selepas kapal kembali beroperasi.

 

"Ini dijangka membantu menyokong pemulihan pendapatan syarikat dalam suku-suku akan datang," katanya.

 

Keyfield telah mengekalkan prospek pemulihan sektor kapal sokongan luar pesisir (OSV), disokong oleh jangkaan permintaan yang lebih kukuh dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang, terutamanya berikutan harga minyak yang kekal tinggi.

 

Sehubungan itu, penilaian syarikat telah disemak semula dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.74 sesaham daripada RM1.51 sebelum ini, berasaskan gandaan 10.0 kali EPS FY27F berbanding 9.0 kali sebelum ini, serta premium ESG sebanyak 3%.

 

Bagaimanapun, walaupun prospek jangka sederhana dilihat bertambah baik, penarafan saham Keyfield telah diturunkan daripada ‘Buy’ kepada ‘Hold’, mencerminkan cabaran operasi jangka pendek yang masih wujud sebelum pemulihan pendapatan menjadi lebih kukuh. - DagangNews.com