KUALA LUMPUR 11 Mei — Kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) dan pengeluaran tandan buah segar (TBS) terus menekan prestasi keuntungan SD Guthrie Berhad bagi tempoh suku pertama FY26.
Penganalisis namun masih lagi mengekalkan pandangan optimis terhadap prospek pemulihan syarikat perladangan itu meskipun berdepan faktor ketidaktentuan geopolitik serta peningkatan kos operasi.
Antaranya TA Securities yang menilai keuntungan bersih teras bagi 1QFY26 susut 29.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM386 juta, akibat harga produk sawit lebih rendah dan pengeluaran TBS yang lemah.
"Purata harga MSM merosot 10.1% kepada RM4,115 satu tan manakala harga isirung sawit (PK) turun 8% kepada RM3,073 satu tan, sementara pengeluaran TBS pula jatuh 4.8% kepada 1.9 juta tan,” katanya.
Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan prestasi SD Guthrie bertambah baik bermula suku kedua FY26 disokong pemulihan pengeluaran selepas kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur selesai.
Firma itu berkata, segmen hiliran turut menunjukkan pemulihan apabila keuntungan kasar naik 43.4% kepada RM109 juta susulan peningkatan jualan dan margin operasi di rantau Asia Pasifik dan Eropah.
Selain itu, segmen pembangunan industri kumpulan berkenaan kekal menjadi penyumbang penting apabila merekodkan keuntungan kasar RM160 juta hasil penjualan tanah seluas 102.4 hektar di Kulai, Johor.
"Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran (TP) yang turut tidak berubah RM7.36 sesaham," tambah TA Securities.

Phillip Capital pula menaik taraf saham kumpulan itu kepada 'beli' daripada 'pegang' dengan disemak semula unjuran pendapatan dan menaikkan TP kepada RM7.00 sesaham berbanding RM6.01 sebelum ini.
Firma itu berkata, hasil teras sebanyak RM531 juta bagi 1QFY26 masih dalam jangkaan dengan prestasi lebih baik daripada segmen pembangunan industri dan hiliran mengimbangi kelemahan segmen huluan.
Menurutnya lagi, aktiviti penapisan pukal dan dagangan SD Guthrie didapati berjaya menyumbang kira-kira 70% kepada keuntungan segmen hiliran sepanjang tempoh tiga bulan dalam tinjauan berkenaan.
“Pengurusan kumpulan ini turut kekal positif terhadap prospek dagangan hiliran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, walaupun permintaan pengguna masih agak lemah,” kata Phillip Capital.
Prospek FY26 jelas firma penyelidikan tersebut, kekal konstruktif disokong harga MSM lebih tinggi, momentum pemulihan pengeluaran serta prestasi stabil segmen pembangunan industri dan hiliran.
Sehubungan itu, ia turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) SD Guthrie dari FY26 hingga FY28 antara 1% hingga 29% selepas mengambil kira situasi harga produk sawit yang lebih tinggi.
Menurut Phillip Capital, setiap kenaikan sebanyak RM100 satu tan dalam harga MSM berpotensi dalam meningkatkan keuntungan tahunan kumpulan tersebut antara kira-kira RM230 juta hingga RM250 juta.
"Bagaimanapun, kami mengingatkan risiko utama kepada prestasi syarikat termasuk penurunan mendadak harga minyak mentah, dan kelewatan pelaksanaan mandat biodiesel," tambahnya. - DagangNews.com








