KUALA LUMPUR 18 Jun - Keuntungan Bina Puri Holdings Bhd pada tahun kewangan 2025 berakhir 30 Jun (FY25) dijangka mencecah sebanyak RM7.8 juta iaitu pemulihan pertama sejak FY19, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan kumpulan akan melonjak 69.2% kepada RM13.2 juta pada FY26 dan meningkat 11.4% kepada RM14.7 juta pada FY27.
Unjuran itu berdasarkan jangkaan perolehan projek pembinaan baharu bernilai RM300 juta hingga RM500 juta bagi FY26 hingga FY27, sumbangan hasil stabil RM56 juta hingga RM60 juta daripada segmen hartanah pelaburan untuk FY25 hingga FY27, serta sumbangan minimum daripada segmen kuari, tenaga, dan ladang durian.
TA Securities berkata, FY25 merupakan tahun penting untuk membuktikan keupayaan menyelesaikan projek warisan serta memperoleh kontrak baharu dengan margin yang baik, khususnya di Sarawak bagi menjamin pertumbuhan pendapatan masa hadapan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menyarankan pelabur menilai terlebih dahulu keberkesanan pengurusan baharu dalam merealisasikan pemacu utama pertumbuhan sebelum membuat keputusan pelaburan.
TA Securities melihat Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (Latar) sebagai potensi pemacu baharu dalam pelaburan Bina Puri ketika ini, memandangkan aset tersebut telah mencatat keuntungan pada 2023 tetapi belum menyumbang kepada penyata pendapatan kumpulan.
"Memandangkan lebuh raya itu dijangka menyumbang pendapatan konsisten dan aliran tunai kukuh, ia bakal menjadi sokongan kewangan yang kukuh buat pengurusan baharu," katanya dalam satu nota kajian.- DagangNews.com








