KUALA LUMPUR 19 Mei — Steel Hawk Berhad mencatatkan penyusutan prestasi kewangan pada suku pertama FY26 apabila keuntungan selepas cukai (PAT) merosot ketara lebih 75% kepada RM2.02 juta.
Kejatuhan amat besar itu menurutnya, disebabkan isu kelewatan pengiktirafan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta pelaksanaan projek baharu yang lebih perlahan.
Tambahnya, ia mencatat hasil sebanyak RM20.72 juta bagi 1QFY26, berbanding RM52.48 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih merosot daripada RM8.17 juta dicatatkan sebelumnya.
"Prestasi yang agak berkurangan tersebut susulan perbezaan masa pengiktirafan projek EPCC, selain bil kemajuan projek yang lebih rendah pada suku semasa," kata Steel Hawk dalam satu kenyataan.
Di samping itu jelas kumpulan berkenaan, situasi suku tersebut berbanding suku yang sebelumnya, mencatatkan hasil turut menurun daripada RM37.57 juta manakala PAT susut daripada RM3.32 juta.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Datuk Sharman Kristy Michael dalam ulasan berkata, sektor perkhidmatan minyak dan gas (O&G) tempatan pada ketika ini masih bergerak secara berhati-hati.
Keadaan tersebut berikutan langkah pengoptimuman kos oleh PETRONAS serta pelaksanaan kerja yang lebih selektif, dengan prestasi Steel Hawk mencerminkan persekitaran operasi yang lebih sederhana.
"Faktor berkaitan masa pelaksanaan projek turut memberi kesan, namun kami kekal optimis terhadap prospek jangka panjang disokong buku tempahan sedia ada, dan strategi perniagaan," jelas beliau.
Kumpulan itu katanya, kini menguruskan sejumlah 15 kontrak termasuk tender yang menyediakan keterlihatan hasil untuk tempoh beberapa tahun meliputi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran.
Pada masa sama, Steel Hawk turut melihat banyak peluang besar dalam segmen EPCC susulan pembangunan pesat pusat data (DC) dan projek infrastruktur awam ditawarkan di seluruh Malaysia.
Menurut Michael lagi, nilai pelaburan DC yang diluluskan kerajaan sejak 2021 sudah melebihi RM144 bilion, manakala pelaburan merentasi sektor ekonomi utama pada 2025 pula melebihi RM426 bilion.
“Berdasarkan kepada perkembangan positif ini, kami menganggarkan saiz pasaran yang boleh diterokai oleh kumpulan ini mampu mencecah lebih RM500 bilion dalam jangka sederhana,” kata beliau.
Steel Hawk kini memperluaskan keupayaan kejuruteraan dan pelaksanaan projek ke sektor rumusan digital, pembuatan dan utiliti bagi mempelbagaikan sumber pendapatan. - DagangNews.com
Keuntungan bersih Steel Hawk jatuh 75% kepada RM2 juta bagi 1QFY26 disebabkan projek baharu perlahan

Oleh AMREE AHMAD







