KUALA LUMPUR 13 Jan — Selgate Corporation melantik Ketua Pegawai Strategi Selgate Healthcare, Tengku Iesta Tengku Alaudin untuk mengetuai strategi jenama, pemasaran dan komunikasi kumpulan.
Langkah tersebut jelas anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu, memperluaskan kehadirannya di pasaran, serta mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam ekosistem kesihatan negara.
Selain itu, pelantikan beliau dijangka meningkatkan keyakinan pengguna, di samping memperteguhkan pertumbuhan Selgate Healthcare sebagai penyedia kesihatan dan kesejahteraan bersepadu di Malaysia.
Tengku Iesta, merupakan akauntan bertauliah, yang juga berkhidmat dalam mengawal perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perolehan, pengurusan kontrak dan kualiti Selgate Healthcare.
"Kedudukan pelbagai portfolio ini membolehkan beliau menyelaraskan naratif jenama Selgate dengan agenda transformasi syarikat secara menyeluruh," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam peranan baharu tersebut, beliau bertanggungjawab secara luas dalam mengurus aspek jenama, perhubungan awam, komunikasi strategik, kehadiran digital dan pengurusan reputasi Selgate sendiri.
Perkembangan berkenaan jelasnya, memastikan semua inisiatif dan inovasi kumpulan itu disampaikan berkesan secara konsisten dan berkesan kepada pengguna, rakan kongsi, pihak kerajaan dan industri.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun merentas sektor teknologi kewangan, kesihatan, pembayaran, media, kandungan dan pelaburan, Tengku Iesta menjadi tonggak kepada usaha pembangunan jenama Selcare.
"Tambahan pula, jenama kesihatan bersepadu Selgate ini merangkumi klinik, pergigian, diagnostik, fasiliti penjagaan warga emas, perkhidmatan jururawat di rumah dan farmasi," kata kenyataan itu.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Perakaunan dan Kewangan dari Universiti De Montfort, Britain, merupakan Felo Akauntan Bertauliah di Ireland, dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Tengku Iesta jelas Selgate, turut dikenali mempunyai pengalaman kepimpinan yang cukup luas dalam Media Prima Berhad, Payments Network Malaysia (PayNet), dan Maybank Investment Bank Berhad.
Sebelum ini, beliau mengetuai pengembangan ekosistem digital kesihatan dan kebajikan Selangor melalui Selangkah Ventures Sdn Bhd, dan Selgate kini memasuki fasa baharu operasi hospital pakar.
"Misi kami adalah membina jenama dipercayai, mencerminkan fokus kumpulan terhadap kesejahteraan, aksesibiliti dan penyelesaian yang bermakna untuk rakyat,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Dengan gabungan kepakaran membina jenama, ketelitian analisis dan wawasan rentas industri, Tengku Iesta dijangka memainkan peranan penting terhadap portfolio kesihatan Selgate. - DagangNews.com








