KUALA LUMPUR 15 Julai — Ketetapan terbaharu kerajaan terhadap semua eksport, penghantaran semula dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), diharap menyakinkan negara kuasa dunia itu untuk mengurangkan tarif perdagangan ke atas Malaysia.
Firma penyelidikan MIDF Research berkata, pihak yang tertakluk di bawah arahan baharu ini adalah semua pengeksport, termasuk syarikat perantara, penghantar barang dan pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam kawalan eksport, transit dan transhipmen cip AI maju.
"Kami telah menyatakan sebelum ini bahawa rundingan akan berkisar kepada peraturan dan penguatkuasaan pergerakan cip AI buatan AS, pemantauan terhadap pengguna akhir cip tersebut, serta keseriusan dalam menangani pihak yang melanggar langkah kawalan.
"Arahan terbaru MITI merangkumi kesemua perkara ini. Diharapkan bahawa ini akan dapat meyakinkan AS dalam rundingan berkaitan sekatan eksport cip AI di bawah Peraturan Penyebaran AI yang diubah suai oleh Presiden Donald Trump," kata firma itu dalam nota hari ini.
Tindakan terbaharu MITI itu kata MIDF Research, turut membuktikan keseriusan Malaysia sendiri dalam menangani pihak tertentu yang cuba melanggar langkah kawalan dikenakan oleh kerajaan AS.
Semalam, MITI mengumumkan semua eksport, penghantaran semula dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik (STP), yang berkuat kuasa serta-merta.
Ia tertakluk Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) yang memerlukan pemberitahuan kepada pihak berkuasa dalam tempoh 30 hari jika terdapat syak barangan itu boleh disalah guna.
Inisiatif khas itu bertujuan menutup jurang peraturan sementara Malaysia menjalankan kajian lanjut mengenai kemasukan cip AI yang berprestasi tinggi AS ke dalam Senarai Barangan Strategik (SIL).
Artikel berkaitan: MITI: Eksport cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik
Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, antara spekulasi isu itu termasuk menggantikan sistem negara tiga peringkat kepada pelesenan ketat yang lebih berdasarkan perjanjian kerajaan ke kerajaan (G2G).
"Ini bermaksud syarikat yang beribu pejabat di AS dan sekutu rapat mungkin tidak lagi terikat dengan sekatan dan membolehkan lebih banyak kapasiti AI dirancang di negara lain seperti Malaysia," katanya.
Tambahan pula kata firma itu, ia sentiasa mengulangi perkara bahawa walaupun kebanyakan pusat data baharu memang sedia dilengkapi AI, namun ada yang mungkin akhirnya digunakan bukan bertujuan AI.
Berdasarkan perkembangan tersebut, MIDF Research mengekalkan penarafan 'positif' ke atas sektor pembinaan dan utiliti yang memang banyak terlibat dalam pembangunan pusat data di seluruh negara.
Ia menjangkakan potensi syarikat seperti Gamuda dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.42 selain IJM Corporation (beli, TP: RM3.74) dan Sunway Construction (beli, TP: RM6.44).
"Kesemua syarikat ini diramal terus mendapat manfaat daripada pelbagai projek pusat data yang kukuh di samping kami juga menyukai YTL Power International (beli, TP: RM4.51). - DagangNews.com








