KUALA LUMPUR 14 Mei – Ketegangan berlarutan di rantau Timur Tengah yang menjejaskan harga minyak dunia kini dilihat membuka ruang pertumbuhan lebih besar kepada prospek Dialog Group Berhad sendiri.
Menurut penganalisis, perkembangan tersebut dalam dilihat apabila kumpulan berkenaan meraih banyak peluang khususnya segmen penyimpanan petroleum dan menjana pendapatan berulang jangka panjang.
Dalam keadaan pasaran global masih tidak menentu, dua firma penyelidikan tempatan kekal positif selepas kumpulan tersebut mencatatkan prestasi kewangan 9MFY26 yang memenuhi jangkaan pasaran.
Antaranya, MBSB Research yang masih mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.55 selepas keuntungan bagi tempoh 9MFY26 naik 48% tahun ke tahun (YoY) kepada RM422 juta.
"Prestasi kumpulan berkenaan dipacu oleh sumbangan kukuh segmen Malaysia menerusi projek huluan dan kadar penggunaan terminal penyimpanan minyak yang cukup sihat," jelasnya dalam nota analisis.
Operasi hiliran pula tambahnya, turut mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi walaupun pengeluaran sedikit terjejas akibat pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan peralatan.
Ujar MBSB Research, Dialog terus memperkukuh jejak huluan apabila memperoleh pegangan kira-kira 25% dalam syarikat PSC Cendramas yang akan bermula pada September 2026 bagi tempoh 20 tahun.
Selain itu kata firma tersebut, projek usaha sama (JV) medan gas Salbiah berjalan mengikut jadual perancangan manakala kajian prapembangunan bagi kluster di lapangan Raja dan Mutiara diteruskan.
"Bagi segmen pertengahan, kumpulan ini mengumumkan pengembangan Pengerang Deepwater Terminals Fasa 3 (PDT3) melibatkan tambahan 614,000 meter padu untuk BP Singapore siap pada 2H28," tambahnya.

Jelas MBSB Research, tumpuan Dialog terhadap hasil berulang melalui pengembangan kapasiti, yuran penyimpanan dan rumusan tenaga peralihan mampu melindungi daripada ketidaktentuan harga minyak.
Firma penyelidikan tersebut menambah, meskipun ekonomi global masih berdepan dengan ketegangan geopolitik yang berterusan, ia kekal optimis terhadap prospek kumpulan berkenaan untuk baki FY26.
Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan ‘beli’, tetapi menaikkan TP sesaham kepada RM2.44 berbanding RM2.02 sebelum ini, sekali gus mencerminkan potensi kenaikan sekitar 14%.
"Kami mendapati keuntungan bersih teras Dialog yang dicatatkan sepanjang 9MFY26 meningkat 29% YoY kepada RM424 juta dan situasi ini berada dalam jangkaan mereka serta konsensus pasaran," ujarnya.
Kumpulan itu juga mengumumkan dividen interim 1.7 sen bagi tempoh tersebut, manakala segmen pertengahan kekal kukuh disokong model perniagaan serta kadar penggunaan terminal melebihi 90%.
Kata RHB Research, pengembangan PDT3 dijangka menambah kapasiti simpanan yang stabil, sekali gus berpotensi menjana hasil terminal tahunan sekitar RM150 juta selepas ia beroperasi sepenuhnya.
Dialog tambah firma penyelidikan tersebut, terus menawarkan asas pendapatan defensif yang stabil melalui kontrak pelanggan jangka panjang dan permintaan simpanan serantau yang semakin baik.
"Kami turut berpandangan harga minyak mentah antarabangsa yang masih kekal tinggi pada ketika ini boleh memberi impak tambahan secara positif kepada pendapatan kumpulan berkenaan," jelasnya lagi.
Berdasarkan analisis sensitiviti RHB Research, setiap kenaikan AS$10 (kira-kira RM39.26) setong harga minyak dunia mampu meningkatkan pendapatan kumpulan itu sekitar 5% hingga 6%,” katanya.
Firma itu bagaimanapun mengingatkan antara risiko utama Dialog termasuk kejatuhan harga minyak, penurunan kadar sewaan terminal dan penggunaan kapasiti simpanan bebas yang rendah. - DagangNews.com








