KUALA LUMPUR 18 Jun - Ketegangan berterusan di Asia Barat dijangka tidak memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia susulan pendedahan perdagangan langsung Malaysia dengan rantau tersebut adalah terhad, menurut CIMB Securities.
Firma peyelidikan itu menjelaskan, hanya 2.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia melibatkan ekonomi Asia Barat, manakala perdagangan dengan Iran, negara yang menjadi tumpuan dalam konflik semasa, hanyalah sekitar 0.09%.
"Pendedahan perdagangan langsung Malaysia dengan Asia Barat kekal minimum, sekali gus mengehadkan risiko penurunan segera terhadap eksport dan aliran perdagangan secara keseluruhan, walaupun ketegangan geopolitik meningkat," katanya dalam satu nota kajian.
Konflik antara Iran dan Israel yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan minyak global telah mendorong kenaikan harga minyak mentah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Firma penyelidikan itu turut menyatakan Malaysia sebagai pengeksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), berpotensi meraih manfaat perdagangan sederhana dalam jangka masa terdekat sekiranya harga kekal tinggi.
Namun, CIMB Securities menjelaskan lonjakan harga minyak yang berpunca daripada ketegangan Asia Barat sebelum ini lazimnya bersifat sementara.
Dalam tempoh terdekat, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada terma perdagangan yang lebih baik apabila harga minyak dan LNG yang tinggi menyokong pendapatan eksport, sekali gus mengukuhkan lebihan dagangan dan imbangan akaun semasa.
Bagaimanapun, potensi manfaat itu dijangka sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos import bahan api bertapis seperti diesel dan petrol, yang masih diimport bagi memenuhi permintaan domestik.
Kenaikan kadar tambang serta kekangan logistik, khususnya berpunca daripada gangguan di Laut Merah dan Terusan Suez turut berisiko menambah tekanan terhadap kos import.
"Kos logistik yang tinggi boleh membawa kepada kenaikan harga import, meskipun pendedahan perdagangan langsung adalah terhad.
"Namun, selagi tiada kejutan bekalan besar seperti penutupan Selat Hormuz, kesan terhadap ekonomi Malaysia dijangka kekal minimum dan masih boleh diurus," tambah firma penyelidikan itu.- DagangNews.com








