KUALA LUMPUR 11 Mac - KESM Industries mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.5 juta pada separuh pertama berakhir 31 Januari 2025 (1HFY25) berbanding untung bersih RM1.05 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan permintaan lemah untuk cip pemprosesan automotif.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh berkenaan juga menyusut kepada RM104.2 juta berbanding RM125.3 juta bagi 1HFY24.
Katanya, bagi suku kedua berkahir 31 Januari 2025 (2QFY25), KESM mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.99 juta berbanding untung bersih RM138,000 dan hasil bagi suku itu juga susut kepada RM51.4 juta berbanding RM61.8 juta pada 2QFY24.
KESM berkata, kerugian itu juga disebabkan susut nilai hartanah, kilang dan peralatan lebih rendah sebanyak 8% atau RM1 juta, kerana jentera dan peralatan ujian tertentu telah disusut nilai sepenuhnya.
"Pendapatan lain susut sebanyak 79% atau RM2.2 juta, disebabkan ketiadaan keuntungan pertukaran asing bersih, keuntungan bersih daripada pelupusan jentera dan peralatan ujian dan keuntungan nilai saksama bersih ke atas sekuriti pelaburan, masing-masing berjumlah RM800,000, RM800,000 dan RM300,000," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan beroperasi dalam persekitaran di mana ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan boleh memberi kesan kepada penjajaran rantaian bekalan.
Walaupun menghadapi cabaran, kumpulan sentiasa bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk menyelaraskan tahap pengeluaran dengan pelan hala tuju produk mereka.
"Walaupun permintaan untuk cip automotif mungkin berkurangan dalam jangka pendek, KESM kekal pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan pelanggan, terutamanya dalam sokongan untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI). - DagangNews.com








