KUALA LUMPUR 19 Mei — Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang sepatutnya memberi kelebihan kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) bertukar menjadi tekanan, menurut penganalisis.
Mereka berpendapat, syarikat itu merekodkan kerugian nilai saksama derivatif melebihi RM121 juta dalam suku kedua FY26 apabila kontrak harga hadapan menetapkan paras rendah berbanding pasaran.
Situasi tersebut menyebabkan prestasi segmen perladangan kumpulan berkenaan terus tertekan meskipun pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan pengeluaran MSM menunjukkan peningkatan bagi tempoh itu.
Antaranya MBSB Research yang melihat prestasi operasi keseluruhan KLK masih bercampur-campur, namun mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) masih tidak berubah pada RM20.15 sesaham.
"Penilaian ini berdasarkan keuntungan bersih teras bagi 2QFY26 meningkat 11.4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM248.9 juta, namun segmen perladangan dan hartanah mencatat penyusutan dua digit," katanya.
Prestasi huluan ujarnya, kekal lemah apabila keuntungan segmen itu susut 20.4% YoY kepada RM355.2 juta, sebahagian besarnya disebabkan isu kerugian nilai saksama derivatif sebanyak RM121.5 juta.
MBSB Research berkata, kerugian tersebut mengatasi kesan positif daripada peningkatan jumlah jualan MSM dan isi rung sawit (PK), kos pengeluaran rendah serta pemulihan kadar perahan minyak (OER).
Secara operasi jelasnya, pengeluaran FFB meningkat 6.4% YoY manakala output MSM naik 12% kepada 335,000 tan, tetapi harga jualan purata MSM dan PK lebih rendah sejajar kelemahan pasaran global.
"Kami turut berpandangan tekanan margin dalam segmen hiliran KLK dijangka berterusan berikutan kos bahan mentah lebih tinggi dan keadaan pasaran oleokimia yang masih mencabar," tambah firma itu.
Artikel berkaitan: Prestasi jualan tanah pacu untung bersih KLK naik 90.6% kepada RM294 juta bagi 2QFY26

Justeru kata MBSB Research, walaupun usaha pemulihan ladang amat positif dan OER dijangka kembali ke paras sebelum pandemik, sumbangan hiliran masih belum cukup kukuh menyokong margin kumpulan.
Sementara itu, RHB Research dalam nota analisisnya menaik taraf saham KLK kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan TP baharu yang naik sedikit iaitu RM23 berbanding hanya RM22.30 sebelum ini.
Firma tersebut berkata, penilaian saham kumpulan itu lebih menarik selepas didagangkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27, iaitu bahagian bawah julat penilaian sektor perladangan.
"Prestasi separuh pertama FY26 berada dalam jangkaan walaupun KLK belum mengambil kira kerugian syarikat sekutu, Synthomer, susulan kelewatan pengumuman keputusan kewangan syarikat itu," ujarnya.
Selain itu, RHB Research menjangka segmen hiliran dan syarikat sekutu, MP Evans, akan menunjukkan penambahbaikan pada separuh kedua FY26, di samping prospek pemulihan volum jualan oleokimia kelak.
Tambah firma penyelidikan tersebut, pengeluaran FFB setakat tempoh tujuh bulan FY26 berkembang 4.8% YoY dan prestasi itu masih selari dengan sasaran pertumbuhan tahunan kumpulan berkenaan sendiri.
Bagaimanapun, ia mengakui margin hiliran KLK masih tipis apabila perolehan kasar segmen tersebut merosot kepada hanya 0.05% dalam 2QFY26 akibat keuntungan lebih rendah daripada segmen oleokimia.
"Susulan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 sehingga 4.7% selepas mengambil kira sumbangan keuntungan MP Evans dan pelarasan andaian kadar tukaran asing," katanya. - DagangNews.com








