KUALA LUMPUR 28 Feb - Tan Chong Motor Holdings Bhd mencatatkan kerugian lebih besar sebanyak RM214.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM128.7 juta pada tahun sebelumnya disebabkan penyusutan hasil.
Katanya, hasil menyusut kepada RM2.08 bilion berbanding RM2.53 bilion pada FY23.
Bahagian automotif merekodkan hasil lebih rendah sebanyak RM492.5 juta pada suku semasa, pengurangan sebanyak 15% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Penurunan jualan disebabkan terutamanya oleh persaingan yang lebih sengit dalam pasaran tempatan dan luar negara," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, bagi FY24, bahagian perkhidmatan kewangan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM70.7 juta tetapi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah sebanyak RM5.5 juta.
Penurunan dalam EBITDA disebabkan kerugian rosot nilai yang lebih tinggi ke atas pelaburan dalam penerima pelaburan yang diakaunkan ekuiti dan kerugian kemerosotan nilai atas penghutang sewa beli dalam tempoh tahun semasa.
Hasil daripada operasi lain juga menysuut sebanyak 79.1% kepada RM21.1 juta dan EBITDA sebanyak RM9.9 juta lebih rendah sebanyak 72%.
"Penurunan dalam EBITDA disebabkan kerugian tukaran mata wang asing bersih yang lebih tinggi berbanding keuntungan tukaran asing bersih yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, yang timbul daripada urus niaga dan baki tertunggak dalam mata wang asing," katanya.
Sementara itu, kkerugian bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) juga meningkat kepada RM68.1 juta berbanding RM54.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya manakala hasil bagi suku berkenaan susut kepada RM511.2 juta berbanding RM643.8 juta pada 4QFY23.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu komited untuk merasionalkan operasinya bagi mengurangkan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada pengurusan sumber yang berhemat.
Ini termasuk merundingkan semula perjanjian rantaian bekalan, mengoptimumkan kos pengeluaran dan memanfaatkan transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi.
"Kumpulan juga melabur dalam penambahbaikan kepada perkhidmatan selepas jualan dengan mempertingkatkan bilik pameran dan pusat perkhidmatan sedia ada untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memacu kesetiaan jenama, serta melaksanakan strategi pemasaran digital untuk mengukuhkan penglibatan dan pengekalan pelanggan," katanya. - DagangNews.com








