Kerugian bersih Petra Energy naik 169% kepada RM20 juta bagi 1QFY26 disebabkan lemah segmen huluan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih Petra Energy naik 169% kepada RM20 juta bagi 1QFY26 disebabkan lemah segmen huluan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 MeiPetra Energy Berhad mencatatkan kerugian bersih kepada RM20.11 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM7.49 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.


Peningkatan kira-kira 168.72% kerugian tersebut didorong terutamanya oleh prestasi segmen huluan yang lemah apabila tidak mencatatkan sebarang perolehan berikutan ketiadaan aktiviti pengangkatan.


Selain itu, ujar kumpulan berkenaan, penangguhan pengeluaran akibat penyelenggaraan dok kering secara mandatori bagi Unit Pengeluaran Mudah Alih Luar Pantai (MOPU) turut menjejaskan prestasi.

 

 

 

 


"Kumpulan melaporkan pendapatan hanya sebanyak RM37.62 juta, kemerosotan ketara berbanding RM106.24 juta pada suku pertama 2025," jelas Petra Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Di samping itu jelas syarikat perkhidmatan minyak dan gas tersebut (O&G), kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM27.23 juta berbanding kerugian RM6.92 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Segmen huluan mengalami LBT RM18.3 juta berbanding keuntungan RM14.2 juta pada tahun lalu, susulan perbelanjaan operasi yang ditanggung semasa pengeluaran ditangguhkan untuk penyelenggaraan MOPU.


Hasil segmen perkhidmatan pula kata Petra Energy mencatatkan RM31.0 juta, naik daripada RM21.1 juta, namun masih tetap kerugian kasar RM5.6 juta berbanding RM0.7 juta pada suku yang sama 2025.


"Sementara segmen aset marin pulih dengan hasil meningkat kepada RM6.6 juta berikutan penggunaan tinggi kapal, manakala LBT mengecil kepada RM3.3 juta berbanding RM20.5 juta sebelumnya," ujarnya.


Walaupun kerugian pada suku pertama, medan Banang sudah pun menyambung semula operasi pada April 2026 sejajar dengan pelan operasi kumpulan tersebut setelah selesai kerja penyelenggaraan MOPU.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun Petra Energy masih tetap berhati-hati terhadap situasi ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik, dan harga minyak mentah dunia yang terus tidak menentu pada ketika ini.


Bersandarkan projek-projek sedia ada dan pelaksanaan operasi yang lebih baik, ia menyatakan keyakinan untuk mencatatkan prestasi positif bagi keseluruhan tahun kewangan 2026. - DagangNews.com