KUALA LUMPUR 4 Feb - Erdasan Group Berhad mencatatkan pemulihan apabila kerugian bersih susut kepada sebanyak RM9.67 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir pada 30 September 2025 (FY25).
Prestasi positif ini menunjukkan berlaku peningkatan pertumbuhan secara ketara berbanding kerugian bersih kira-kira RM80.86 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24).
Menurut kumpulan itu, pengurangan kerugian ini disokong terutamanya oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM11.56 juta daripada langkah pelupusan sejumlah mesin sarung tangan syarikat tersebut.
"Selain itu, ada pembalikan kerugian kemerosotan nilai ke atas aset tanah dan bangunan dengan kesemuanya berjumlah RM8.76 juta," kata Erdasan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Prestasi kewangan kumpulan turut didorong oleh perkongsian kerugian yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu, iaitu sebanyak RM5.49 juta berbanding RM13.08 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun jelas syarikat yang dahulunya dikenali AT Systematization Berhad, keuntungan ini sebahagiannya diimbangi kerugian akibat penyahiktirafan syarikat bersekutu berjumlah RM13.40 juta.
Erdasan tambahnya, mencatatkan hasil RM54.98 juta, naik 68.7% berbanding RM32.58 juta pada FY24, dipacu oleh prestasi segmen fabrikasi dan automasi yang merekodkan kenaikan sebanyak RM23.71 juta.
Segmen itu katanya, mencatatkan pusingan balik dengan untung sebelum cukai (PBT) RM6.89 juta, berbanding kerugian RM7.62 juta sebelum ini, hasil tempahan tinggi pelanggan sektor semikonduktor.
"Dalam pada itu, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan hartanah merekodkan PBT RM5.46 juta, naik daripada RM0.56 juta sebelumnya, susulan keuntungan pelupusan mesin sarung tangan," katanya.
Setakat 30 September 2025 jelas Erdasan, kedudukan tunai dan kesetaraan tunai kumpulan berada pada paras RM17.93 juta, dan kumpulan kekal optimis terhadap prestasi bagi suku yang akan datang.
Keyakinan berkenaan tambahnya, bersandarkan kepada tempahan tertunggak yang berjumlah RM17.43 juta setakat ini, sekali gus mencerminkan permintaan sihat merentasi pelbagai sektor pelanggan utama.
Di samping itu katanya, syarikat berkenaan kini sudah memfokuskan semula perniagaan terasnya dalam rumusan kejuruteraan jitu dan fabrikasi setelah menghentikan operasi pembuatan sarung tangan.
"Kumpulan ini juga sudah melaksanakan penyatukan saham di Pasaran ACE dalam tempoh yang dikaji bagi memperkukuhkan lagi struktur modal semasanya," ujar Erdasan. - DagangNews.com








