KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd., memperoleh kontrak baharu bernilai RM174.2 juta daripada RB Land Sdn. Bhd., anak syarikat IJM Land Berhad bagi membina bangunan kediaman bertingkat tinggi di Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tersebut berkata, projek berkenaan merangkumi satu blok apartmen servis setinggi 44 tingkat yang mengandungi 778 unit kediaman, 15 lot runcit serta komponen berkaitan lain.
Pembinaan dijadualkan bermula pada 1 Jun 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 35 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, kejayaan ini merupakan projek kedua syarikat di Seremban tahun ini, sekali gus mencerminkan peningkatan momentum pembangunan di Negeri Sembilan.
“Kami juga berbesar hati menjalin kerjasama baharu dengan IJM Land yang membuktikan keyakinan industri terhadap keupayaan teknikal serta kepakaran pelaksanaan kami,” katanya.
Beliau berkata, walaupun persekitaran industri terus mencabar, prospek sektor pembinaan domestik kekal positif disokong permintaan berterusan terhadap pembangunan strategik serta pengembangan infrastruktur.
“Ke hadapan, kami akan terus membida projek bernilai tinggi yang selari dengan kepakaran teras kami serta mengekalkan disiplin pelaksanaan dan kecekapan operasi,” tambahnya.
Dengan kontrak baharu ini, jumlah kemenangan kontrak Kerjaya Prospek bagi tahun kewangan 2026 meningkat kepada RM976.5 juta, manakala jumlah buku tempahan tertunggak kumpulan kini mencecah RM4.3 bilion. - DagangNews.com








