Kerjaya Prospek dianggar catat pendapatan kukuh pada FY25 didorong penambahan kontrak konsisten - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek dianggar catat pendapatan kukuh pada FY25 didorong penambahan kontrak konsisten - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kerjaya Prospek Group Bhd dianggar mencatatkan pendapatan kukuh pada FY25 didorong penambahan kontrak yang stabil dan konsisten, kata penganalisis.

 

TA Securities menyukai kumpulan itu kerana potensi pertumbuhannya dalam pembinaan hartanah industri, memanfaatkan perkongsiannya bersama Samsung.

 

Katanya, Kerjaya Prospek baru-baru ini memperoleh kontrak RM51 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd.

 

Kontrak itu meliputi pelaksanaan dan penyiapan kerja cerucuk dan kerja tanah untuk cadangan pembinaan apartmen servis 52 tingkat di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

 

Ia dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan yang berulang kerana Pengerusi Kerjaya Prospek, Datuk Tee Eng Ho ialah Pengerusi Eksekutif E&O dan pemegang saham utama tidak langsung.

 

Setakat ini, kemenangan kerja kumpulan meningkat kepada RM307.4 juta, menjadikan jumlah buku pesanan tertunggaknya kepada kira-kira RM4.1 bilion, bersamaan 2.4 kali ganda hasil pembinaan tahun kewangan 2024 (FY24).

 

"Dengan mengandaikan margin bersih tiga tahun sebanyak 10%, projek ini dijangka menjana keuntungan bersih sekitar RM5.1 juta sepanjang tempoh pembinaan," kata TA Securities dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.72 sesaham.

 

“Saham itu memberikan hasil dividen yang menarik sebanyak 5.8% berdasarkan unjuran dividen sebanyak 12 sen sesaham untuk FY25," katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan ramalan pendapatannya, TP RM2.10 sesaham dan penarafan prestasi pasaran yang disokong hasil dividen melebihi 5%.

 

Katanya, pihak pengurusan telah menetapkan sasaran penambahan kerja sebanyak RM1.6 bilion untuk FY25 (berbanding andaian RM1.8 bilion), disokong buku tender RM2 bilion untuk kerja pembinaan.

 

Bersama dengan rakan usaha sama Samsung, Kerjaya Prospek sedang menyertai tender untuk tiga pekerjaan pusat data bernilai RM3 bilion dengan hasil yang disasarkan menjelang suku ketiga 2025.- DagangNews.com