KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan pengawal selia air negeri untuk memperkenalkan struktur tarif air khusus bagi pusat data dan pengguna industri berat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa sama kerajaan juga menggalakkan kedua-dua industri itu menggunakan air kitar semula dan sistem penyejukan setempat bagi mengurangkan tekanan ke atas sumber air bersih negara.
Katanya, meskipun isu air tertakluk kepada bidang kuasa negeri, agensi persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan entiti pengawal selia baharu, Agensi Tujuan Khas untuk Mengawal Selia dan Menyelaras Hal Ehwal Air (SPARC) kini sedang menyelaras dengan operator utiliti untuk memastikan penggunaan air yang lebih adil dan cekap.
“Sebelum sebarang kenaikan tarif diluluskan, syarikat utiliti perlu mengemukakan permohonan kepada SPARC. Dari situ, kita nilai tujuan dan justifikasi kenaikan,” katanya dalam forum Menerajui Peralihan Tenaga Hijau di sini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan kini menggalakkan sektor industri termasuk pusat data beralih kepada penggunaan air kitar semula serta membangunkan sistem penyejukan daerah yang lestari.
“Kita mahu kerajaan negeri wujudkan kawasan berzon, supaya sistem penyejukan daerah dapat diwujudkan untuk kawasan penggunaan air yang tinggi. Ini bagi mengelakkan persaingan penggunaan air bersih untuk kegunaan manusia,” jelasnya.
Tambah beliau, struktur tarif air khusus untuk pusat data sedang dalam peringkat perumusan, dengan matlamat melindungi pengguna domestik daripada menanggung subsidi silang untuk penggunaan industri berskala besar.
“Strategi jangka panjang kerajaan adalah menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian sumber dengan memastikan akses air yang saksama dan menggalakkan teknologi air yang lebih cekap dan berkonsepkan ekonomi kitaran,” ujar beliau.
Langkah ini diambil ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap kadar penggunaan air yang tinggi oleh pusat data dan infrastruktur teknologi tinggi lain, terutamanya dalam landskap digital dan industri 5.0.
Fadillah menegaskan bahawa pembaharuan ini penting bagi memastikan sistem air negara diurus secara mampan, sambil mewujudkan insentif kepada sektor industri untuk menggunakan air secara bertanggungjawab.








