KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan komited menggandakan sokongan terhadap sektor bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), farmaseutikal dan digital, bagi memperkukuh rantaian bekalan strategik negara serta mempercepat pertumbuhan industri berimpak tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk penubuhan Dana Pelaburan Bersama Strategik bernilai RM200 juta, yang akan menyediakan pembiayaan padanan kepada PKS dan syarikat pertengahan melalui platform Pendanaan Ekuiti (ECF) dan Pembiayaan Rakan Setara (P2P).
Beliau berkata, dana itu bertujuan memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan sektor utama negara.
"Selain itu, Dana Pembangunan Industri Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) berjumlah RM180 juta akan membiayai program pembangunan dalam sektor farmaseutikal, semikonduktor, AI, digital dan kelestarian.
"Dalam usaha memperkukuh ekosistem semikonduktor nasional, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut melabur RM550 juta bagi merancakkan kerjasama antara firma tempatan dan syarikat multinasional (MNC)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) pula memperuntukkan RM500 juta pinjaman untuk menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya oleh syarikat tempatan dalam ekosistem elektrik dan elektronik (E&E).
Katanya, kerajaan turut akan melancarkan program inkubator SemiconStart, diterajui Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama inkubator global, bagi membantu syarikat pemula semikonduktor mengatasi kos prototaip yang tinggi.
Katanya, program ini akan menawarkan bimbingan, akses kepada pembiayaan global, pembangunan prototaip pada kadar diskaun serta jaringan pelanggan antarabangsa.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memperkukuh peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi domestik.
Beliau berkata, melalui inisiatif GEAR-uP, GLIC akan meningkatkan pelaburan dalam negara kepada RM30 bilion pada tahun hadapan, berbanding RM25 bilion tahun ini.
"KWAP memperuntukkan RM1.2 bilion Dana Pemacu untuk pelaburan bersama dengan pengurus dana swasta (co-GP) dalam sektor peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan ekonomi digital, bagi menyokong syarikat tempatan di peringkat pertumbuhan.
Sementara itu, katanya, Khazanah Nasional akan menubuhkan Program Syarikat Mid-Tier dengan pembiayaan RM250 juta, bertujuan membangunkan keupayaan dan kapasiti syarikat tempatan peringkat pertengahan agar berdaya saing di pasaran serantau. - DagangNews.com








