Kerajaan fokus teliti mekanisme subsidi diesel sebelum pelaksanaan lebih meluas - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan fokus teliti mekanisme subsidi diesel sebelum pelaksanaan lebih meluas - Fahmi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kerajaan masih meneliti pelaksanaan mekanisme subsidi diesel di bawah sistem Budi Madani sebelum sebarang keputusan dibuat untuk pelaksanaan yang lebih meluas, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata perkara tersebut masih menjadi antara fokus utama perbincangan Jemaah Menteri dan beberapa aspek berkaitan sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan.

 

“Buat masa ini, kerajaan masih meneliti isu berkaitan pelaksanaan subsidi diesel di bawah sistem Budi Madani. Itu masih menjadi fokus semasa kabinet.

 

“Kami telah melihat beberapa perkara dalam mesyuarat kabinet hari ini. Ia masih dalam perbincangan dan sebarang keputusan akan diumumkan kemudian,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

 

Menurut beliau, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung pelaksanaan lanjut dasar berkenaan.

 

“Tiada apa yang boleh diumumkan pada peringkat ini,” tambahnya.

 

Dalam pada itu, Fahmi menafikan laporan yang mendakwa berlaku kemungkinan pengurangan kadar kuota bahan api di bawah Budi95, dengan menyifatkannya sebagai tidak tepat.

 

Beliau menjelaskan kekeliruan tersebut timbul susulan beberapa perbincangan peringkat kajian yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan melibatkan pelbagai senario pelaksanaan.

 

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Budi Madani sebagai antara pendekatan penyasaran semula subsidi bagi memastikan bantuan lebih bersasar kepada golongan yang layak, khususnya dalam sektor pengangkutan dan pengguna diesel tertentu. - DagangNews.com