KUALA LUMPUR 20 Feb - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai perolehan jualan tahunan RM500,000 dan ke bawah, diberikan lanjutan tempoh selama enam bulan untuk mematuhi penggunaan e-invois.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois bagi PKS dengan perolehan tahunan antara RM150,000 dan RM500,000 sehingga 1 Januari 2026.
"Tempoh peralihan tambahan selama enam bulan ini akan memberi persediaan yang lebih baik kepada perniagaan terlibat dan memberi manfaat kepada lebih 240,000 PKS," katanya di Dewan Rakyat hari ini seperti laporan The Star.
Fasa 3 pelaksanaan e-invois wajib dijadualkan bermula pada 1 Julai tahun ini.
Fasa 1 bermula pada 1 Ogos 2024 untuk perniagaan dengan perolehan tahunan lebih RM100 juta dan ke atas.
Pelaksanaan Fasa 2 untuk perniagaan dengan perolehan melebihi RM25 juta bermula pada 1 Januari lalu.
Pada bulan Julai 2024, Amir mengumumkan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memperoleh kurang daripada RM150,000 setahun dikecualikan daripada mengeluarkan e-invois.
Baru-baru ini, terdapat penolakan oleh PKS terhadap pelaksanaan e-invois yang wajib bermula 1 Julai 2025.
PKS berkata, lebih banyak masa diperlukan kerana perniagaan belum sepenuhnya bersedia atau tidak biasa dengan pelaksanaan e-invois. - DagangNews.com








