KUALA LUMPUR 24 Jun – Kepesatan pembangunan pusat data (DC) di Malaysia yang dilihat sebagai pemacu baharu ekonomi kini turut menimbulkan kebimbangan serius terhadap kelestarian sumber air.
Menurut MBSB Research, perkembangan fasiliti itu turut memberi kesan terhadap kestabilan bekalan elektrik, serta mencetuskan persoalan sama ada negara bersedia menampung pertumbuhan sektor itu.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan mendadak projek berpotensi memberi tekanan besar kepada infrastruktur utiliti memandangkan sebuah DC berskala besar boleh menggunakan lebih 100MW tenaga.
"Jumlah ini menyamai penggunaan tinggi bekalan elektrik bagi sebuah bandar kecil, manakala sistem penyejukannya turut menjadi isu kritikal kerana menggunakan tiga juta liter air sehari," jelasnya.
Ujar MBSB Research, apabila kapasiti DC di negara ini berkembang hingga 5,000MW, permintaan air dijangka naik ketara terutama di Lembah Klang yang sudah berdepan dengan isu tekanan rendah sumber itu.

Justeru, ia menilai positif usaha kerajaan yang ingin memperketat syarat kelulusan projek menerusi Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) dengan penekanan terhadap pelaburan hijau dan berimpak tinggi.
Katanya, pendekatan lebih ketat akan mewujudkan kekangan bekalan secara struktur kerana hanya pengendali yang memenuhi piawaian hijau, dan teknologi cekap tenaga yang akan diberi keutamaan.
"Bagaimanapun, pembangunan DC kekal antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM144.4 bilion bagi 143 projek," tambah MBSB Research.
Pelaburan itu berpotensi menjana impak ekonomi bernilai RM231.5 bilion atau 11.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mewujudkan sekitar 40,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam sektor hartanah pula ujarnya, pembangunan DC dijangka meningkatkan nilai tanah strategik terutama di Johor, Selangor dan Lembah Klang, sekali gus memberi manfaat kepada pemaju tertentu.

Kelebihan ini jelas MBSB Research, terutama syarikat yang sudah memiliki bank tanah berskala besar seperti Sime Darby Property, IOI Properties Group, SP Setia dan Eco World Development Group.
"Kami menjangka banyak syarikat meneroka model bina dan pajak DC berikutan pulangan menarik lebih 6.5%, selain potensi penyenaraian aset itu ke dalam amanah pelaburan hartanah (REIT)," katanya.
Dari sudut utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilihat antara penerima manfaat utama susulan peningkatan permintaan terhadap penaiktarafan grid lama, dan pembinaan banyak pencawang tambahan.
Kumpulan itu tambah MBSB Research, turut menjana infrastruktur sambungan voltan tinggi, manakala Ranhill Utilities Berhad dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan permintaan air industri.
Bagi sektor pembinaan, firma penyelidikan tersebut dalam analisisnya mengunjurkan aliran projek DC bernilai antara RM20 bilion hingga RM28 bilion dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang.
"Berdasarkan situasi semasa, Sunway Construction, IJM Corporation dan Gamuda dilihat sebagai proksi utama untuk memanfaatkan ledakan pelaburan DC di Malaysia," katanya. - DagangNews.com








