KUALA LUMPUR 31 Jan - Penganalisis meramalkan keperluan pelantar penggerudian medan minyak berkurangan pada 2025 kepada 20 unit kesan kelemahan permintaan bagi perkhidmatan itu.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, kejatuhan permintaan medan minyak adalah sejajar dengan jangkaan aktiviti cari gali yang lebih rendah pada 2025 berdasarkan keputusan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang telah menahan beberapa projek kerja cari gali huluan di Sarawak.
Katanya, prospek syarikat penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) dan sambungan dan pentauliahan (HUC) kekal kukuh kerana saluran paip aktiviti mengatasi jangkaan pasaran.
“Tambahan pula, banyak syarikat minyak termasuk Petronas memilih untuk menangguhkan beberapa projek cari galinya dan mengalihkan sumber mereka dalam mempercepatkan kerja-kerja pembangunan.
"Oleh itu, kami menjangkakan pendapatan Velesto Energy Bhd merosot pada tahun kewangan 2025 (FY25) dengan menjangkakan memperoleh kontrak baharu tahun ini yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, kontraktor operasi paling kurang terdedah kepada perbelanjaan dan pemotongan pekerjaan kerana sifat kritikalnya dalam mengekalkan pengeluaran hidrokarbon Petronas.
Kontraktor MCM-HUC seperti Dayang Enterprise Holdings Bhd, T7 Global Bhd, Carimin Petroleum Bhd dan Petra Energy Bhd sebagai penerima manfaat yang jelas pada 2025.
Firma itu berkata, Dialog Group Bhd mendapat manfaat daripada saluran paip pemulihan kilang yang lebih besar oleh Petronas.
Satu lagi penerima berpotensi ialah Steel Hawk Bhd kerana memperoleh lima pakej daripada Petronas untuk penyediaan kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian untuk unit operasi hiliran syarikat itu pada November 2024.
Pemilik kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV) dan pelantar penggerudian mungkin mengalami aktiviti yang lebih perlahan pada 2025.
HLIB mengekalkan saranan "Neutral" ke atas sektor minyak dan gas kerana firma penyelidikan itu percaya Tinjauan Aktiviti Petronas memberi kejelasan yang amat diperlukan untuk tinjauan sektor minyak dan gas.
Sementara itu, RHB Research berkata, sebahagian besar daripada laporan tinjauan aktiviti Petronas sejajar dengan jangkaannya.
"Pengurangan dalam aktiviti huluan berdasarkan kelembapan dalam perbelanjaan oleh Petronas berkemungkinan akan mendorong permintaan sokongan luar pesisir yang lebih rendah.
"Kami menjangkakan kelewatan projek fabrikasi luar pesisir, dengan peningkatan yang lebih ketara dalam aktiviti pemasangan saluran paip dan penyahtauliahan bermula dari 2026," katanya.
RHB Research berkata, tinjauan itu memberi lebih kejelasan untuk pasaran minyak dan gas tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.- DagangNews.com








