Kenanga Research jangka Swift Energy raih lebih banyak projek susulan kontrak RM24.37 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research jangka Swift Energy raih lebih banyak projek susulan kontrak RM24.37 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kenanga Research menjangkakan, Swift Energy Technology Bhd akan meraih lebih banyak projek selepas syarikat itu memperoleh dua kontrak mengejut bernilai RM24.37 juta baru-baru ini.

 

Menurutnya, ia adalah kerana syarikat berkenaan merupakan satu-satunya pakar sistem ex -solar fotovoltaik (PV) di ASEAN. 

 

Ex-solar PV adalah sistem yang diberi penarafan anti-letupan dan biasanya dipasang di lokasi yang berbahaya atau berpotensi meletup seperti platform minyak dan gas (O&G) luar pesisir atau kilang petrokimia.

 

Pada 7 Mac 2025, Swift Energy memperoleh perjanjian besar dengan Offshore Oil Engineering Co Ltd dari China untuk membekalkan sistem tenaga hibrid ex-solar, turbin angin dan penjana diesel untuk platform pengeluaran Shell di Nigeria yang penghantarannya dijadualkan pada September 2025.

 

Syarikat itu juga memenangi kontrak daripada Siemens Energy Sdn Bhd untuk membekalkan papan suis voltan rendah di Labuan bagi projek META Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang dijangka siap pada Julai 2025.

 

Menurut Kenanga Research, dengan kedua-dua kontrak tersebut, jumlah kemenangan tahun ke tahun Swift Energy mencecah RM44.5 juta, menjadikan buku pesanan syarikat mencapai paras tertinggi RM100 juta.

 

Firma penyelidikan itu juga menggambarkan perjanjian dengan Offshore Oil Engineering Co Ltd sebagai batu loncatan kerana ia adalah firma kontrak besar tunggal China untuk platform Shell di Nigeria.

 

"Ia merupakan perjanjian kedua dengan China dan kontrak terbesar kedua dalam sejarah syarikat.

 

"Dengan perolehan kontrak dari gergasi O&G milik negara China, Swift Energy kini memasuki pasaran yang sangat besar," katanya dalam satu laporan kajian.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research mengekalkan ramalan pendapatannya kerana kemenangan pesanan RM93 juta untuk tahun kewangan 2025 telah diambil kira.

 

Ia menjangkakan Swift Energy akan berada di kedudukan strategik untuk mengambil peluang dengan tumpuan yang semakin berkembang terhadap tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam kitaran semula jadi minyak dan gas.

 

"Gergasi serantau sedang mempercepatkan pelaburan mereka didorong oleh harga minyak mentah yang menguntungkan dengan komitmen bebas karbon menjelang 2050, yang menjamin pelaburan hijau berterusan, menjadikan Swift Energy sebagai pemain utama ASEAN dalam memacu inovasi tenaga.

 

"Di Malaysia, Petronas mempimpin peralihan ini, mengamalkan RE dalam platform struktur tetap baharu dan komited untuk melabur RM2 bilion setiap tahun dalam inisiatif bebas karbon sejak 2022," katanya.

 

Kenanga Research berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pengurangan perbelanjaan modal, pelaburan dalam tenaga bersih dijangka terus meningkat dengan segmen pembangunan semula menawarkan potensi yang signifikan.

 

"Berdasarkan anggaran kami, saiz pasaran potensi untuk projek pembangunan semula di Malaysia dan Thailand dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM868 juta," jelasnya.

 

Kenanga Research memberi penarafan 'outperform' kepada Swift Energy dengan harga sasaran 60 sen. - DagangNews.com