KUALA LUMPUR 3 Mac - Kenanga Research menjangkakan jumlah kargo gas asli cecair (LNG) di Pelabuhan Bintulu akan kekal stabil dengan permintaan berterusan dari Jepun dan Korea Selatan.
Firma penyelidikan itu juga meramalkan permintaan yang lebih tinggi dari China susulan pengalihan perdagangan.
Katanya, jumlah kargo masuk dan keluar di Pelabuhan Industri Samalaju bertambah daripada pelanggan utama Pelabuhan Bintulu Holdings Bhd, iaitu Press Metal Aluminium Holdings Bhd dan OM Holdings Ltd.
"Kami percaya pelanggan utama ini mempunyai kelebihan berbanding pesaing mereka di pasaran antarabangsa kerana produk mereka mempunyai jejak karbon yang rendah, berikutan penggunaan tenaga hidroelektrik.
"Sehingga kini, negara-negara Barat masih mengenakan sekatan terhadap aluminium Rusia yang menyumbang sekitar 6% daripada pengeluaran aluminium dunia dan oleh itu, mereka terpaksa mencari sumber bekalan aluminium alternatif,” kata Kenanga Research dalam satu kenyataan.
Kenanga Research turut mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran RM6.20 untuk saham tersebut.
"Pelabuhan Bintulu masih kekal sebagai pelaburan yang baik kerana pendapatan stabil daripada LNG dan berpotensi meningkatkan keuntungan jika tarif pelabuhan dinaikkan," jelasnya.
Ia berpendapat, Pelabuhan Industri Samalaju turut memiliki potensi pertumbuhan disokong oleh pelaburan yang meningkat dalam industri berat di Taman Perindustrian Samalaju.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan Pelabuhan Bintulu bagi tahun kewangan 2024 (FY24) juga memenuhi jangkaan.
Keuntungan bersih teras FY24 mencatatkan peningkatan kukuh, naik 29% tahun ke tahun, didorong oleh jumlah kargo yang kuat dan kos kewangan serta cukai yang lebih rendah.
Selain itu, Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih FY25 untuk Pelabuhan Bintulu sebanyak 2%, terutamanya untuk tujuan perakaunan dan menyasarkan unjuran keuntungan bersih FY26 sebanyak RM167.2 juta.
Pendapatan FY24 pengendali pelabuhan meningkat 8% tahun ke tahun, didorong oleh pemulihan di Pelabuhan Bintulu dengan permintaan LNG yang lebih tinggi dari China sejak suku keempat 2023, serta peningkatan aktiviti asas bekalan dan Pelabuhan Industri Samalaju yang menyaksikan kenaikan jumlah kargo dari pelanggan utama.
Kenanga Research turut mencatatkan jumlah kargo LNG Pelabuhan Bintulu meningkat 3.6%, didorong oleh permintaan yang lebih kuat dari China, Jepun dan Korea Selatan.
Sementara itu, segmen bukan LNG termasuk kargo pukal kering, pukal pecah, pukal cecair dan kargo berkonsepkan kontena, meningkat 9.2%, didorong oleh pemulihan jumlah aliran kargo perladangan serta kenaikan jumlah kargo masuk dan keluar dari industri berat di Taman Perindustrian Samalaju.
Secara berasingan, penubuhan Autoriti Pelabuhan Bintulu Sarawak yang baharu, di bawah pentadbiran kerajaan negeri, dijangka selesai pada separuh pertama FY25. - DagangNews.com








