KUALA LUMPUR 9 Okt – Bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook memberi amaran perdagangan rokok haram di Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan jenayah terancang dan rasuah, serta merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.
Dr Yusoff, yang juga seorang peguam bertauliah dan telah berkhidmat dengan Kerajaan selama lebih lima dekad dalam pelbagai jawatan termasuk sebagai Ketua Polis Negeri Sarawak, berkata perdagangan rokok haram dikendalikan melalui rangkaian jenayah yang canggih dengan sistem pengedaran kompleks merentasi pelbagai pintu masuk di seluruh negara.
“Rokok haram dibawa masuk melalui pelbagai saluran, dari pelabuhan ke laluan pesisir pantai, malah melalui laluan darat yang tidak diperiksa.
"Setelah berada di dalam negara, produk ini diedarkan dengan licik ke seluruh negara melalui rangkaian yang hanya boleh wujud dengan penglibatan jenayah terancang dan, malangnya, rasuah dalam kalangan mereka yang menjaga sempadan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, perdagangan tembakau haram merupakan sumber kewangan utama bagi sindiket jenayah yang menggunakan hasil tersebut untuk mengembangkan aktiviti haram lain.
“Penyeludupan rokok haram membiayai kegiatan jenayah yang lebih luas, daripada pelacuran dan perjudian haram hinggalah kepada pemerasan dan pengubahan wang haram.
"Perdagangan ini bukan sahaja merosakkan ekonomi, malah turut memperkukuh budaya rasuah dan melemahkan institusi negara,” ujar Dr Yusoff.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa erti kemerdekaan sebenar adalah membebaskan Malaysia daripada rasuah dan kartel penyeludupan, sambil menegaskan bahawa perdagangan rokok haram terletak di persimpangan kedua-dua isu tersebut.
“Perdana Menteri benar. Kita tidak boleh bercakap tentang integriti atau pembaharuan negara selagi kartel penyeludupan terus beroperasi dengan bebas.”
Apabila persepsi terhadap rasuah semakin meningkat dan pasaran haram kekal menguntungkan, sebarang dasar yang menambah peluang keuntungan bagi penyeludup, seperti kenaikan cukai, hanya akan memburukkan keadaan.
“Kenaikan cukai rokok hanya akan menjadikan penyeludupan lebih menguntungkan dan menjadikan rasuah lebih sukar dibanteras,” jelasnya.
Antara 1 Januari hingga Ogos 2025, pihak penguat kuasa berjaya merampas barangan seludup bernilai RM232.5 juta — hasil daripada usaha bersepadu dan operasi strategik yang dijalankan di seluruh Malaysia.
Beliau menyeru kerajaan supaya mengambil pendekatan menyeluruh dengan mengekalkan momentum penguatkuasaan, memperkukuh kawalan sempadan, serta memastikan dasar fiskal dan kesihatan awam tidak secara tidak sengaja memperkasakan sindiket jenayah.
“Perdagangan rokok haram bukan jenayah kecil. Ia adalah jaringan kompleks yang melibatkan rasuah, keuntungan dan kuasa. Memeranginya mesti kekal sebagai keutamaan nasional,” kata Dr Yusoff. - DagangNews.com








