KUALA LUMPUR 14 Mei - Prospek Life Water Bhd dilihat semakin positif selepas syarikat itu mengesahkan kenaikan harga jualan purata (ASP) produk air minuman mulai Mei 2026, sekali gus dijangka meningkatkan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, hasil lawatan ke kilang KKIZ8 milik Life Water Sabah (LWSABAH) menunjukkan pengurusan syarikat lebih optimis terhadap prestasi pendapatan FY26 hingga FY27.
Menurutnya, syarikat mengesahkan kenaikan ASP sebanyak RM0.60 setiap karton bermula Mei 2026, dengan satu lagi kenaikan RM0.60 dijangka dilaksanakan pada Julai 2026 sekiranya harga resin PET kekal tinggi.
“Kenaikan harga ini berlaku ketika kumpulan masih menggunakan inventori resin PET berkos rendah sekitar AS$850 hingga AS$900 satu tan metrik berbanding harga pasaran semasa sekitar AS$1,380 satu tan metrik,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, keadaan tersebut mewujudkan tempoh margin lebih tinggi pada suku keempat FY26 apabila harga jualan baharu dipadankan dengan kos bahan mentah lama yang lebih rendah.
Susulan perkembangan itu, firma penyelidikan berkenaan menaikkan unjuran keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATANCI) FY26F, FY27F dan FY28F masing-masing sebanyak 5.7%, 10.2% dan 11.9%.
“Pelarasan ini didorong terutamanya oleh kenaikan ASP yang mampu mengimbangi peningkatan kos input,” katanya.
Sehubungan itu, harga sasaran saham Life Water disemak naik kepada RM1.63 daripada RM1.34 sebelum ini, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27F sebanyak 10.2 sen dan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tidak berubah pada 16 kali.
Dalam pada itu, volum jualan syarikat turut menunjukkan momentum kukuh apabila pengeluaran April 2026 melepasi dua juta karton berbanding kadar biasa sekitar 1.6 juta hingga 1.8 juta karton sebulan.
Firma itu berkata, peningkatan tersebut disokong oleh permintaan musim kering, peluasan rangkaian 99 Speedmart dan pertumbuhan pengedaran di Malaysia Timur menjelang pembukaan pusat pengedaran Tawau.
“Produk minuman berkarbonat dan jenama Twinine juga terus berkembang dengan Twinine dijangka menyumbang sekitar 4% hingga 5% kepada keuntungan FY26F,” katanya.
Menurut firma itu lagi, Life Water mengambil pendekatan berhati-hati dalam pengurusan inventori dengan mengekalkan stok resin bagi tempoh tiga hingga lima bulan sambil mengehadkan tempahan baharu kepada satu hingga dua bulan.
Langkah itu dilihat mampu memberi fleksibiliti kepada syarikat dalam menghadapi ketidaktentuan kos bahan mentah global. - DagangNews.com








