Kekurangan projek baharu dikhuatiri ancam keuntungan SkyWorld tahun ini, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan projek baharu dikhuatiri ancam keuntungan SkyWorld tahun ini, kata Phillip Capital

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun — Ketika prestasi keuntungan jangka pendek dijangka tertekan akibat jurang sumbangan projek baharu, SkyWorld Development Berhad dilihat berusaha meletakkan asas kukuh.

 

Menurut analisis Phillip Capital, kumpulan itu serius merangka fasa pertumbuhan yang besar menerusi pelancaran projek bernilai lebih RM2 bilion dan pelan transformasi jangka panjang sehingga tahun 2040.


Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bagi tahun kewangan 2026 namun dijangka berada pada paras paling rendah susulan dua projek utama yang siap pada tahun lalu tanpa ada penggantian segera.


"Projek baharu masih berada pada peringkat awal pembangunan, dan kami menjangka pemulihan ketara bermula tahun kewangan 2027 didorong oleh peningkatan bil progresif projek sedia ada," jelasnya.


Antaranya ujar Phillip Capital, pelancaran Silverlake Residence, SkyWorld Pearlmont Fasa 2 dan SkyWorld Cassia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2 bilion secara keseluruhan.


Projek di Vietnam iaitu Sai Gon Thuan An Central dijangka menjelang akhir 2026, tetapi sumbangan keuntungan hanya bermula pada tahun kewangan 2029 berikutan model pengiktirafan sekali sahaja.


Pada masa sama, SkyWorld turut memperkenalkan pelan strategik jangka panjang dikenali 'SkyWorld 2040' yang menyasarkan kedudukan antara 30 pemaju hartanah terbesar di rantau Asia Tenggara.

 

SkyWorld_DagangNews2026

 

"Di bawah fasa pertama dari FY27 hingga FY31, syarikat menyasarkan keuntungan terkumpul RM1 bilion melalui pelancaran banyak projek baharu dengan GDV keseluruhan RM12 bilion," kata Phillip Capital.


Selain itu, inisiatif skim S-Housing berpotensi membuka segmen pasaran baharu sekiranya kerajaan bersetuju untuk menyediakan sokongan kos bagi memastikan margin keuntungan dapat terus dikekalkan.


Ia turut melihat komitmen SkyWorld mengekalkan pembayaran dividen minimum 20% daripada keuntungan sebagai faktor positif kepada pelabur jangka panjang, yang menawarkan pulangan tahunan 8%.


Bagaimanapun Phillip Capital berpandangan pelan itu bersifat aspirasi buat masa ini dan kejayaan pelaksanaan bergantung kepada kemampuan direalisasi sasaran fasa pertama dalam tempoh lima tahun.


"Sehubungan itu, kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan pemaju hartanah ini dengan harga sasaran (TP) yang turut tidak berubah pada 85 sen sesaham," jelas firma tersebut.


Ujarnya, kelemahan prestasi tahun kewangan 2026 hanya bersifat sementara sebelum SkyWorld memasuki fasa pertumbuhan baharu pada tahun depan yang disokong oleh saluran pelancaran projek yang kukuh.


Antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek syarikat termasuk jualan hartanah yang lebih lemah daripada jangkaan, kelewatan pelancaran projek serta peningkatan kos bahan binaan. - DagangNews.com