Kekurangan kerja PETRONAS dikhuatiri tekan perolehan Dayang pada FY26, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan kerja PETRONAS dikhuatiri tekan perolehan Dayang pada FY26, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Keterlihatan aktiviti huluan yang semakin sederhana susulan semakan turun keperluan kerja PETRONAS dijangka memberi tekanan kepada Dayang Enterprise Holdings Berhad.


Keadaan tersebut dikhuatiri menjejaskan prospek perolehan bagi FY26, sekali gus mendorong Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) RM1.90.

 

 

 

 

 

 

Menurut firma penyelidikan itu, semakan turun jam kerja mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati PETRONAS dalam persekitaran harga minyak yang lebih lemah serta ketidaktentuan dasar domestik.


"Ini mengurangkan aktiviti pengubahsuaian, pembinaan dan penyelenggaraan (MCM), penyambungan dan pentauliahan (HUC) serta permintaan kapal sokongan pesisir (OSV)," katanya dalam nota kajian. 


PublicInvest berpandangan perkembangan itu berpotensi mengehadkan jumlah tempahan kerja baharu kepada Dayang dalam FY26, walaupun pihak pengurusan yakin tahap aktiviti keseluruhan kekal stabil.


Bagi FY25, Dayang mencatatkan keuntungan bersih RM192.9 juta, susut 35.3% tahun ke tahun (YoY), susulan peralihan kepada kontrak baharu MCM dan HUC pada November 2024 selepas tamat kontrak lama.


Situasi tersebut mewujudkan asas pendapatan lebih rendah bagi segmen perkhidmatan penyelenggaraan atas (TMS), dengan hasil merosot 42.1% YoY, selain pendapatan penyewaan marin turun 17.6% YoY.


"Kami melihat FY25 sebagai tahun penetapan semula jangkaan pendapatan kumpulan ini selaras dengan kitaran kontrak baharu, serta dinamik bekalan dan permintaan OSV yang berubah," kata PublicInvest.


Tambahnya, dari segi pelaksanaan kontrak aset bersepadu bernilai anggaran RM1.2 bilion bagi tempoh tiga tahun sehingga Disember 2026, hanya kira-kira RM100 juta dilaksanakan Dayang setakat ini.


Sehubungan itu, firma tersebut tidak menjangkakan sumbangan bermakna dalam FY26, dengan baki skop kerja berpotensi diserap ke dalam kontrak penyahaktifan yang masih menunggu keputusan muktamad.


Dalam usaha daya saing jangka panjang, kumpulan itu memulakan program 'peremajaan' armada secara berperingkat, termasuk pembinaan sebuah kapal marin 289 penumpang bernilai RM117.7 juta.


"Jumlah komitmen perbelanjaan modal bagi program ini dianggarkan RM277.7 juta dalam dua tahun, yang disifatkan sebagai terurus memandangkan kedudukan tunai bersih kukuh RM723.9 juta," jelasnya.


PublicInvest turut menekankan kejayaan penyusutan hutang Dayang sejak FY20 daripada hutang bersih RM253.5 juta kepada tunai bersih RM723.9 juta pada FY25, menyediakan ruang kewangan mencukupi.

 

 

 


Berdasarkan anggaran, pembayaran dividen sesaham 14 sen bersamaan kira-kira RM162.1 juta setahun dilihat mampan, mengambil kira ketiadaan hutang berjangka serta keperluan tahunan yang sederhana.


Secara keseluruhan, walaupun asas kewangan dan dividen memberi sokongan kepada harga saham, prospek aktiviti huluan yang sederhana pada FY26 wajar diambil kira pelabur. - DagangNews.com