Kekuatan segmen frekuensi radio, UOB Kay Hian ramal hasil Inari pada FY25 meningkat sebanyak 6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekuatan segmen frekuensi radio, UOB Kay Hian ramal hasil Inari pada FY25 meningkat sebanyak 6%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pertumbuhan hasil Inari Amertron Bhd pada FY25 diramal meningkat sebanyak 6% dari tahun ke tahun dipacu oleh segmen frekuensi radio (RF).

 

UOB Kay Hian Research berkata, kumpulan itu juga sedang merancang program baharu selepas mengambil kira prestasi kurang memberangsangkan pada FY24.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan menerima manfaat daripada segmen telefon pintar yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang akan datang selain permintaan pesat untuk peranti optoelektronik jalur lebar tinggi dalam rangkaian dan pusat data.

 

"Dengan nisbah perolehan harga 2025 sebanyak 23.6x dan dengan permulaan pemulihan daripada dasar kitaran, penilaian semasa menawarkan dinamik ganjaran risiko untuk  kemasukan yang menggalakkan.

 

“Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM3.40 sesaham,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Harga saham Inari telah menyusut sebanyak 12.5% sehingga kini.

 

UOB Kay Hian berkata, kelemahan harga saham mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap kelembapan permintaan telefon pintar dan potensi kesan daripada Peraturan Akhir Interim yang mengganggu pada penyebaran AI.

 

Bagaimanapun, ia mendapati volum pemuatan perniagaan RF kekal sihat pada kadar penggunaan yang optimum.

 

Firma penyelidikan itu brkata, perkara itu mungkin disebabkan oleh pertumbuhan nilai kandungan yang lebih tinggi didorong oleh pelancaran telefon pintar generasi baharu.

 

"Dalam tempoh terdekat, momentum mungkin datang daripada pelancaran model mampu milik baharu yang dijangkakan oleh pelanggan utamanya di Amerika Syarikat (AS), yang dijangka mengekalkan pemuatan volum yang sihat sehingga separuh kedua 2025," katanya.

 

Inari menamatkan kerugiannya selepas penguncupan jualan bagi tahun kelima berturut-turut pada suku keempat FY23, diterajui volum pemuatan yang lebih tinggi dalam RF selepas beberapa siri pelarasan inventori.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kumpulan itu seharusnya lebih baik sekiranya pertukaran mata wang asing berada dalam keadaan stabil. - DagangNews.com