KUALA LUPUR 18 Jun - Pertumbuhan Press Metal Aluminium Holdings Bhd tahun ini didorong kekangan bekalan yang berterusan dan penurunan kos bahan mentah, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, setiap kenaikan AS$100 satu tan (RM470) daripada anggaran harga aluminium semasa iaitu AS$2,450 satu tan (RM11,515) pada 2025 mampu meningkatkan keuntungan tahunan Press Metal sebanyak 14%.
"Had pengeluaran sebanyak 45.5 juta tan di China dan pemansuhan rebat cukai nilai tambah (VAT) ke atas lebih lima juta tan eksport aluminium terus mengehadkan pengeluaran dan eksport negara itu.
"Amerika Syarikat juga dilapor mengembalikan serta menaikkan tarif kepada 50% ke atas semua import aluminium, sekali gus mengetatkan aliran perdagangan global dan mencerminkan trend sekatan perdagangan antarabangsa yang dijangka memburukkan lagi tekanan bekalan," katanya dalam satu nota kajian.
UOBKH Research mengekalkan saranan "beli" untuk saham syarikat itu dengan harga sasaran RM6.26.
Firma penyelidikan itu menjangka gangguan bekalan akan berlaku susulan had pengeluaran di China, pemansuhan rebat VAT dan tarif dikenakan Amerika Syarikat, meskipun permintaan aluminium dijangka kekal lembap dalam tempoh terdekat.
Memandangkan keadaan bekalan yang lebih ketat, UOBKH Research mengekalkan anggaran harga aluminium di London Metal Exchange yang konservatif iaitu AS$2,450 satu tan (RM11,515) bagi tahun ini berbanding AS$2,400 (RM11,280) satu tan pada 2024.
Setakat 25 Mei, Press Metal telah melindung nilai 60% harga aluminium pada kadar AS$2,600 satu tan (RM12,220) bagi tahun ini, 40% pada AS$2,700 (RM12,690) satu tan bagi 2026, dan 35% pada kadar sama bagi 2027.
Menurut UOBKH Research, pemacu utama pertumbuhan Press Metal tahun ini termasuk permulaan operasi loji penapisan alumina baharu di Indonesia oleh unit milik 21.75%-nya di Hong Kong, Nanshan Aluminium International Holdings Ltd, kos input alumina yang lebih rendah, peluasan jumlah produk nilai tambah serta kekangan bekalan aluminium yang berterusan.- DagangNews.com








