KUALA LUMPUR 21 Okt - Gabungan faktor seperti kekangan bekalan global, dasar bahan api bio baharu dan ketidaktentuan geopolitik akan terus menyokong harga minyak sawit pada paras tinggi, sekurang-kurangnya untuk jangka pendek.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus melebihi paras RM4,400 satu tan menjelang akhir tahun ini, disokong spekulasi terhadap pelaksanaan dasar biodiesel B50 Indonesia serta penyusutan bekalan minyak kacang soya global.
Katanya, sentimen pasaran bagaimanapun kekal berhati-hati disebabkan harga minyak mentah yang lemah, inventori minyak sayuran yang tinggi di China dan India, serta ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China, selain peningkatan stok soya global.
Pada September 2025, eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 102,000 tan (+7.7% bulan ke bulan) kepada 1.42 juta tan, dengan kebanyakan rantau mencatatkan pertumbuhan kecuali Kesatuan Eropah dan Asia Pasifik.
Peningkatan paling ketara datang dari India, dengan jumlah penghantaran melonjak ke 312,000 tan, paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan.
Katanya, eksport yang kukuh itu bagaimanapun disertai peningkatan stok sawit kepada 2.36 juta tan, paras tertinggi dalam 22 bulan, didorong oleh normalisasi penggunaan domestik selepas mencatat rekod 499,000 tan pada Ogos. Import turut meningkat 33.9% bulan ke bulan kepada 20,000 tan.
Minyak sawit kembali didagangkan pada premium berbanding minyak kacang soya di pasaran global. Sehingga pertengahan Oktober, minyak sawit diniagakan AS$42 satu tan lebih tinggi di Eropah dan AS$26 lebih tinggi di India, menamatkan tempoh enam bulan di mana minyak sawit sebelum ini berada pada diskaun berbanding minyak kacang soya.
“Spekulasi mengenai pelaksanaan dasar biodiesel B50 oleh Indonesia terus menjadi pemangkin utama harga MSM,” katanya dalam satu kenyataan.
Program B50 itu dijangka menggunakan sekitar 17 juta tan minyak sawit bagi tujuan campuran biodiesel, meningkat 3 juta tan daripada mandat B40 semasa. Ini bersamaan dengan kira-kira 35% daripada pengeluaran minyak sawit Indonesia, sekali gus dijangka mengehadkan jumlah eksport kepada sekitar 22 juta tan, jauh lebih rendah daripada purata 24–28 juta tan setahun dalam tempoh lima tahun lalu.
Dalam masa sama, MPOC berkata, pasaran minyak sayuran dunia turut menerima tekanan daripada penurunan bekalan eksport minyak kacang soya dari AS dan Brazil, yang dijangka merosot sebanyak 41% kepada 1.6 juta tan dalam musim 2025/26, berbanding 2.7 juta tan tahun sebelumnya.
Di Argentina, pengecualian cukai eksport sementara yang diumumkan pada akhir September mencetuskan lonjakan jualan hadapan kepada China, namun keadaan ini dijangka mengehadkan aktiviti penghancuran soya dan ketersediaan minyak kacang soya untuk eksport dalam bulan-bulan mendatang.
Katanya, walaupun rantau Laut Hitam sudah memulakan musim menuai biji bunga matahari, harga minyak bunga matahari kekal tinggi — mencecah AS$1,360 satu tan di Eropah, iaitu AS$75 lebih tinggi daripada minyak sawit dan AS$100 lebih tinggi berbanding minyak kacang soya, mencerminkan bekalan yang ketat serta ketidaktentuan pasaran global.
Sementara itu, perang perdagangan AS–China menjejaskan pasaran kacang soya global apabila China menghentikan import dari AS sejak Mei 2025 dan beralih kepada sumber dari Amerika Selatan. Langkah itu menyebabkan lambakan stok soya di AS, walaupun dasar bahan api bio 45Z dijangka meningkatkan penggunaan domestik pada 2026.
“Gabungan faktor seperti kekangan bekalan global, dasar bahan api bio baharu dan ketidaktentuan geopolitik akan terus menyokong harga minyak sawit pada paras tinggi, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek,” katanya.- DagangNews.com








