KUALA LUMPUR 11 Nov – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah menunjukkan peningkatan memberangsangkan, meningkat kepada RM84.30 bilion pada 2024 berbanding RM77.80 bilion pada 2020, sekali gus mencatat paras tertinggi sejak pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar fiskal kerajaan negeri khususnya dalam pengurusan hasil secara berhemat serta sistem kutipan yang lebih cekap.
Menurutnya, pertumbuhan tersebut juga menggambarkan ketahanan ekonomi Sabah meskipun berdepan suasana mencabar termasuk ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan harga komoditi.
“Untuk 2025 dan 2026, momentum pertumbuhan dijangka terus mengukuh melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi, dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5% hingga 2%,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Perkhidmatan Awam Sabah 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.
Hajiji menegaskan, kerajaan negeri berjaya mengawal inflasi secara teratur, dengan kadar inflasi Sabah pada 2024 kekal rendah pada 1.2%, berbanding purata nasional 1.8%.
Beliau berkata, pencapaian itu turut disokong inisiatif rangsangan ekonomi seperti Skim Pinjaman Mikro Kredit untuk memperkasa usahawan kecil dan sederhana, dengan pembiayaan diluluskan berjumlah RM2.37 juta, melibatkan 1,210 permohonan setakat ini.
Mengulas rancangan pembangunan akan datang, Hajiji berkata, Sabah terus menjadi antara penerima dana pembangunan terbesar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula tahun depan, dengan RM6.9 bilion bagi tahun 2026 dijangka mempercepat pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Sementara itu, Mesyuarat Kabinet Sabah pada 4 Jun lalu telah meluluskan sil-ing perbelanjaan pembangunan berjumlah RM12.02 bilion di bawah RMK13, melibatkan 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negeri.
Bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, kerajaan negeri turut membangunkan dasar Amalan Peraturan Baik untuk menambah baik mutu peraturan dan menghapuskan peraturan yang tidak lagi relevan.
“Sepanjang tempoh lima tahun, sebanyak 48 rang undang-undang baharu dan pindaan telah diperkenalkan bagi memastikan matlamat ini tercapai,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan terhadap penjawat awam yang memastikan kejayaan Pelan Sabah Maju Jaya 1.0, pelan pembangunan komprehensif bagi tempoh lima tahun pentadbiran kerajaan negeri.
Namun, beliau mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan.
“Ada perkara yang saya bangga dan ada juga yang mengecewakan. Itu lumrah dalam kepimpinan, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada pasukan kita,” katanya. - DagangNews.com








