KUALA LUMPUR 24 Jan - Keluaran dalam negari kasar (KDNK) Malaysia dijangka bertumbuh dalam anggaran 4.5% sehingga 5.5% pada 2025, sejajar dengan unjuran rasmi negara iaitu pada 5.3%, kata Alliance Bank Malaysia Bhd.
Katanya, permintaan domestik berkemungkinan menjadi pemacu utama KDNK yang akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna dan merancakkan aktiviti pelaburan.
"Tumpuan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi akan mendorong kepada trajektori perkembangan KDNK Malaysia yang kini kekal dalam aliran menaik," kata Alliance Bank dalam satu kenyataan.
Alliance Bank berkata, KDNK negara bagi sembilan bulan pertama 2024 ialah 5.2%, berada di landasan yang betul untuk memenuhi unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.8% hingga 5.3% (naik daripada julat sebelumnya iaitu 4.0% hingga 5%).
“Pelaburan swasta dijangka mendapat manfaat daripada persekitaran luaran yang bertambah baik sementara kerajaan akan terus mengembangkan dasar fiskal bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
“Perbelanjaan modal pada suku ketiga 2024 meningkat kepada pertumbuhan tinggi sebanyak 15.3%, menandakan kesan positif yang timbul daripada pelaburan asing yang diluluskan pada 2021 sehingga 2023.
“Ini menggariskan prospek kitaran pelaburan teguh di Malaysia yang akan terus berkembang pada 2025.
"Risiko penurunan utama termasuk pemulihan lebih perlahan daripada jangkaan dalam permintaan luar dan ketegangan geopolitik yang meningkat," katanya.
Bank itu menjangkakan kepengerusian Asean oleh Malaysia pada 2025 mampu meningkatkan kedudukan global negara memandangkan daya tarikannya yang kukuh sebagai destinasi utama untuk pelaburan langsung asing (FDI).
Katanya, corak peralihan dan keutamaan dalam FDI menumpukan kepada sektor tenaga digital dan boleh diperbaharui di rantau ini.
Alliance Bank juga berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menggalakkan kerjasama merentasi sempadan Asia Tenggara.
Bank itu menjangkakan kemajuan selanjutnya pada 2025 dengan lebih banyak inisiatif yang memudahkan pelaburan dan perdagangan serta pemindahan orang dan barangan yang lebih lancar di JS-SEZ.
Mengulas mengenai ekonomi negara secara keseluruhan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam Chee Khiong berkata, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia terus disokong oleh pasaran pekerjaan yang teguh.
“Kadar pengangguran negara bertambah baik sebanyak 3.2% dan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 70.5% pada Oktober 2024 merupakan petanda baik kepada ekonomi Malaysia, memandangkan permintaan domestik membentuk sebahagian besar ekonomi negara," katanya.- DagangNews.com








