KUALA LUMPUR 13 Feb – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat 2025, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan melepasi jangkaan awal.
Prestasi ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan 2025 sebanyak 5.2 peratus, lebih tinggi berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim berkata permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan berterusan menjadi pemacu utama pertumbuhan ini.
“Walaupun berdepan persekitaran global yang tidak menentu, KDNK suku keempat mencatat pertumbuhan tinggi, menjadikan pertumbuhan tahunan 2025 lebih baik berbanding tahun sebelumnya dan melepasi sasaran rasmi kerajaan.
“Momentum ini mencerminkan permintaan domestik yang kukuh, sokongan pelaburan berterusan serta keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan MADANI juga mengekalkan defisit fiskal pada paras rendah untuk dua tahun berturut-turut, sekaligus membolehkan penjimatan disalurkan kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, selain meneruskan projek infrastruktur awam yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian ini turut menyaksikan kadar pengangguran berada pada paras terendah lebih sedekad dan kadar inflasi kekal rendah, sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat.
“Selain itu, prestasi pasaran modal turut memberangsangkan dengan Bursa Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, manakala ringgit mengukuh sebagai salah satu mata wang berprestasi terbaik di Asia.
“Pelaburan langsung meningkat, menandakan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia semakin kukuh, hasil daripada dasar yang jelas dan pelaksanaan reformasi berterusan di bawah Ekonomi MADANI,” katanya.
Bagi 2026, ekonomi dijangka kekal stabil dengan sokongan permintaan domestik yang berdaya tahan, perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.
Aktiviti pelancongan dijangka rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, manakala kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.
Belanjawan 2026 pula akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026–2030, serta dasar utama bagi pengembangan ekonomi inklusif dan mampan, sambil mengekalkan disiplin fiskal untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang.
Anwar berkata walaupun prestasi ekonomi Malaysia kini berada pada tahap positif, kerajaan tidak boleh leka sebaliknya fokus perlu terus diberikan kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, pembasmian rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat, dan mempermudah cara menjalankan perniagaan.
“Langkah ini diharapkan menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperkukuh landasan pembaharuan Ekonomi MADANI dan memperteguh momentum pertumbuhan negara ke arah lebih mampan dan inklusif,” katanya.- DagangNews.com








