KUALA LUMPUR 30 Jun – Kawan Renergy Bhd (Kenergy) mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM4.9 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 (2QFY25), meningkat 11.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kenergy berkata, lonjakan pendapatan segmen kilang proses industri sebanyak tiga kali ganda tahun ke tahun (YoY) kepada RM8.2 juta menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil keseluruhan 39.5% kepada RM30.9 juta bagi suku tersebut.
Bagi tempoh enam bulan terkumpul, syarikat merekodkan pendapatan RM60.3 juta, meningkat 43.1% YoY.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kenergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, peningkatan tarif elektrik yang dijangka tahun ini membuka peluang besar ketika perniagaan mencari strategi jangka panjang untuk mengurus kos tenaga.
"Kenergy berada pada kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat menerusi kerjasama dengan penyedia global bagi menawarkan rumusan tenaga menyeluruh.
"Kecekapan kos rumusan ini semakin menarik, khususnya bagi pengguna berkapasiti tinggi seperti pusat data dan utiliti, dan syarikat kekal yakin dengan asas perniagaan dipandu oleh prestasi suku kedua yang mencatat pertumbuhan dua angka," katanya dalam satu kenyataan.

Segmen peralatan proses industri kekal sebagai penyumbang utama hasil, mewakili lebih separuh daripada jumlah pendapatan, diikuti loji proses industri sebanyak 36.9%, manakala selebihnya disumbang oleh projek tenaga boleh baharu dan penjanaan bersama.
PATAMI bagi tempoh enam bulan meningkat 14.2% kepada RM9.8 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sehingga 30 April 2025, buku pesanan Kenergy berjumlah RM92.1 juta, memberikan jaminan pendapatan kukuh bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.- DagangNews.com








