Kapal perang LMS ketiga TLDM dinamakan `Tunku Osman Jewa' sempena Panglima ATM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kapal perang LMS ketiga TLDM dinamakan `Tunku Osman Jewa' sempena Panglima ATM

Kapal kedua LMS Batch 2 yang dinamakan Raja Laut semasa dilancarkan pada Jun lalu.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 JUN - Kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketiga dinamakan sebagai Tunku Osman Jewa sempena Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertama.

 

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin dalam satu kenyataan semalam.

 

Allahyarham Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa yang juga kerabat diraja Kedah menggantikan Leftenan Jeneral Tan Sri Sir Rodney Moore pada 1 Januari 1964.

 

Tunku Osman Jewa yang mendapat latihan pegawai kadet di Britain ditauliahkan ke dalam tentera British pada tahun 1945 sebelum menyertai Force 136. 

 

Kapal
Jeneral Tunku Osman Jewa

 

Tunku Osman Jewa menyertai Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada 1 Februari 1947 setelah ditauliahkan kembali dengan pangkat Leftenan.

 

Kapal ketiga ini dijangka akan dilancarkan pada November nanti.

 

Pemilihan nama tersebut melengkapkan ketiga-tiga buah kapal LMS Batch 2 kelas Tunku yang dibina oleh firma STM Savunma dari Turkiye.

 

Ketiga-tiga kapal dijadual diserahkan secara berperingkat-peringkat pada tahun 2027.

 

Kapal pertama, Tunku Abdul Jalil akan diserahkan pada September 2027 diikuti Raja Laut pada Oktober dan Tunku Osman Jewa pada November tahun yang sama.

 

Kapal

 

Kapal

 

 

Selepas penyerahan, kapal-kapal tersebut akan menjalani ujian penerimaan serta penilaian operasi sebelum ditauliahkan secara rasmi ke dalam perkhidmatan TLDM.

 

Dari perspektif strategik, LMS Batch 2 merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pelan transformasi armada 15-to-5 TLDM bagi mengurangkan kepelbagaian kelas kapal dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Kelas Tunku yang dibangunkan berasaskan reka bentuk korvet Ada milik Turkiye menawarkan keupayaan tempur yang jauh lebih tinggi berbanding LMS Batch 1 kelas Keris.

 

Dengan panjang hampir 100 meter dan sesaran sekitar 2,500 tan, kapal kategori korvet bersaiz sederhana ini sesuai untuk operasi pelbagai peranan.

 

Jarak operasi sejauh 4,000 batu nautika pula memberikan fleksibiliti tinggi untuk rondaan jangka panjang di kawasan perairan strategik negara.

 

Kapal

 

Keupayaan tempur LMS Batch 2 turut diperkukuhkan melalui penggunaan peluru berpandu antikapal ATMACA keluaran Türkiye.

 

Sistem ini mampu meningkatkan keupayaan serangan permukaan TLDM secara signifikan.

 

Dalam masa sama, pemasangan sistem pertahanan udara K-SAAM dari Korea Selatan memberi lapisan perlindungan tambahan terhadap ancaman udara moden.

 

Gabungan kedua-dua sistem senjata ini menjadikan LMS Batch 2 bukan sekadar kapal rondaan tetapi platform peperangan maritim yang lebih berkeupayaan.

 

Keupayaan tersebut amat relevan dalam konteks pengawasan kawasan maritim yang luas khususnya di Laut China Selatan. - DagangNews.com