KUALA LUMPUR 24 Nov – Kadar penyertaan tenaga buruh (LPR) Malaysia mencatat rekod tertinggi 70.6% pada 2024, menandakan keyakinan rakyat terhadap pasaran pekerjaan, menurut laporan My Local Stats 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Jumlah tenaga buruh meningkat kepada 16.9 juta orang, naik 3.3% berbanding 2023, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan akses pekerjaan yang lebih meluas.
Selain itu, laporan tersebut menunjukkan kesejahteraan rakyat turut meningkat: kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 6.2% pada 2022 kepada 5.1% pada 2024, bilangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat meningkat kepada 605,109 orang dengan jumlah agihan RM2.61 bilion, naik 9.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi infrastruktur digital, akses Internet isi rumah mencapai 96.8% dan penggunaan komputer 92.2%.
Indikator kesihatan juga memperlihatkan penambahbaikan dengan nisbah penduduk kepada doktor bertambah baik kepada 1:404, manakala jangka hayat ketika lahir meningkat kepada 74.9 tahun.
Dalam pendidikan, bilangan sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan berjumlah 10,233 buah, manakala statistik penduduk menunjukkan nisbah jantina 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Bagaimanapun, laporan turut mencatat peningkatan jenayah indeks Malaysia sebanyak 11.1 peratus kepada 58,255 kes pada 2024, termasuk jenayah harta benda (+12.4%) dan jenayah kekerasan (+5.9%).
Dalam perkembangan membanggakan, Malaysia buat pertama kali menduduki tangga*pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain, meningkat daripada kedudukan ke-67 dalam ODIN 2022/23.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menekankan laporan ini menjadi rujukan penting untuk perancangan kerajaan dan sektor swasta bagi merangka dasar ekonomi dan sosial yang lebih berkesan. - DagangNews.com








