KUALA LUMPUR 24 Jan - Westports Holdings Bhd dianggar mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3% bagi pengendalian kontena pada FY25, kata MIDF Research.
Katanya, trend pertumbuhan itu kekal didorong operasi pintu masuk walaupun terdapat kemungkinan momentum pelaburan langsung asing (FDI) berkurangan.
Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhan, volum kontena untuk FY24 sebahagian besarnya kekal tidak berubah, berkembang hanya 0.9% dari tahun ke tahun seperti yang dijangkakan.
"Ia terbukti dengan pertumbuhan pintu masuk yang sederhanan, berada pada 8.4% dari tahun ke tahun pada FY24 berbanding 14.1% pada FY23.
"Selain itu, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dijangka mengumumkan keputusannya mengenai cadangan kenaikan tarif pada suku pertama tahun ini," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FY24 Westports melonjak 15.2% kepada RM897.9 juta
Terdahulu, hasil kumpulan itu juga meningkat sebanyak 8.9% kepada RM2.34 bilion berbanding RM2.15 bilion pada FY23.
Pada FY24, pelabuhan itu mengendalikan rekod volum kontena baharu sebanyak 10.98 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki).
Jumlah kontena import-eksport yang dikendalikan, yang menyokong pertumbuhan dan aktiviti ekonomi tempatan, juga mencapai rekod baharu sebanyak 4.91 juta TEU.
Bagi segmen konvensional, Westports turut mengendalikan dan memudahkan rekod pemprosesan baharu sebanyak 12.19 juta tan kargo pukal.
Firma penyelidikan itu berkata,kumpulan itu juga berpotensi mencatatkan hasil lebih baik dengan kemungkinan berlakunya kenaikan tarif yang lebih besar atau semakan semula dalam pertumbuhan volum kontena.
"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM4.43 sesaham," katanya. - DagangNews.com








