Jumlah pengeluaran saham pelabur asing sangat kecil 0.2% berbanding permodalan saham RM2 trilion - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah pengeluaran saham pelabur asing sangat kecil 0.2% berbanding permodalan saham RM2 trilion - PM Anwar

KUALA LUMPUR 13 Feb - Perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat (AS) diakui menjadi punca berlakunya pengeluaran saham di negara ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pengeluaran itu bagaimanapun sangat kecil iaitu 0.2% daripada jumlah keseluruhan permodahan saham sebanyak RM2 trilion.

 

Beliau berkata, situasi itu perlu dilihat secara keseluruhan iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sembilan bulan 2024 adalah menggalakkan. 

 

"Nilai pelaburan juga dalam sembilan bulan 2024 naik 10.7% berbanding tempoh sama pada 2023, ini kenaikan yang besar. 

 

“Ini juga termasuk syarikat-syarikat besar, saya sebut Infineon, Geely, Amazon, Microsoft dan ini memberi gambaran terhadap keyakinan dan pegangan asing.

 

"Apabila kita beri umpamanya pengeluaran dana seolah-olah merudum keyakinan asing, tengok angka, dia kekal pada 19%, pada 2023, 19.5% dan pada 2024 (akhir 2024) bertambah 19.7%.

 

“Maknanya pegangan itu, Januari 2025 masih 19.4%, jadi 0.2% itu tidak menggambarkan keyakinan kepada ekonomi negara," katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) mengenai punca ramai pelabur asing menjual pegangan saham mereka dalam negara bagi tempoh kebelakangan ini.

 

Anwar (PH-Tambun) berkata, jika dilihat ekuiti global, firma penyelidikan menaikkan taraf pengesyoran mereka bagi saham-saham syarikat awam.

 

"Kita lihat umpamanya syarikat-syarikat yang ada, kalau mata penutup sehingga Februari 2025, memang jatuh 2.4% di Malaysia, 6.1% di Indonesia, 7.4% jatuh di Filipina, dan 8.3% jatuh di Thailand.

 

"Ini kesan yang menyeluruh di seluruh dunia, tetapi syarikat- syarikat, baik institusi kewangan dan syarikat-syarikat masih mencatat keuntungan besar, Maybank peningkatan 9.7%, CIMB 12.3%, Public Bank, 5.8%.

 

"Jadi gambaran tentang merudum kerana adendum ini mimpi apa ini? Angka dari mana? Dicedok dari mana? (sebanyak) 0.2% turun daripada RM2 trilion. Istilah jatuh dan merudum itu salah penggunaan bahasa, yang saya faham," katanya.

 

Sementara itu menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal, Perdana Menteri berkata, semua penanda aras ekonomi negara meningkat, diakui oleh semua termasuk pendidikan.

 

"Dan saya telah sebut angka-angka ini, tapi dia masih pertahankan bahawa 0.2% itu walaupun tinggi kejatuhannya di Thailand, Filipina dan Indonesia, tetapi 0.2% itu sahaja angka yang menyebabkan hilang sama sekali keyakinan, tidak apalah itu pandangan Machang, sebab itu Machang tidak maju," kata Anwar.

 

Sementara itu dalam sidang media selepas itu Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN - Larut) menyatakan kekecewaan terhadap Anwar yang bertindak memperkecilkan Wan Ahmad Fayshal.

 

"Saya tidak berniat untuk bangkit dan mempersoalkan mana-mana soalan, tetapi apabila saya melihat Perdana Menteri yang menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Machang saya tak puas hati.

 

"Sepatutnya Perdana Menteri apabila soalan dijawab begitu tak payahlah nak memperkecilkan sesiapa, terutamanya Ahli Parlimen Machang memperkecilkan Machang tak maju, dia baru jadi wakil rakyat Machang dua tahun, sudahlah peruntukan tak ada," katanya. - DagangNews.com