KUALA LUMPUR 20 Feb - Pelabuhan Pulau Pinang mencatat prestasi mengagumkan apabila berjaya mengendalikan sejumlah 32.33 juta tan berat muatan (FWT) pada 2024, peningkatan sebanyak 0.77 peratus berbanding 2023.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, aliran peningkatan kendalian oleh pelabuhan tertua di Malaysia yang dicatatkan sejak 2021 itu, turut melibatkan perkhidmatan feri dengan pengendalian seramai 2.87 juta penumpang pada 2024 susulan pengenalan feri baharu dan terminal yang telah dinaik taraf.
“Jumlah kapal yang singgah di Pelabuhan Pulau Pinang juga meningkat sebanyak 31.18 peratus melibatkan 4,653 buah kapal.
"Saya difahamkan, pelabuhan ini menjangkakan peningkatan menyeluruh bagi pelbagai operasi pada 2025," katanya seperti laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persaudaraan Pelabuhan dan Logistik Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Bayan Lepas, semalam.
Acara tersebut turut dihadiri Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin dan Pengurus Besarnya, Datuk Dr V. Vijayaindiaran.
Hasbi berkata, Pelabuhan Pulau Pinang juga telah menyahut seruan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 dalam melestarikan alam sekitar melalui pelaksanaan beberapa perancangan seperti pengenalan Sistem Tenaga Pesisir di Terminal Swettenham Pier Cruise, Sistem Fotvoltan Solar, Sistem Pengurusan Armada, Sistem Kren Gantri Roda Getah Hibrid serta beberapa inisiatif lain yang menyokong usaha kerajaan ke arah piawaian alam sekitar antarabangsa.
Katanya, antara strategi DPN 2019-2030 adalah pematuhan akta dan peraturan alam sekitar ke arah piawaian alam sekitar antarabangsa.
Jelas beliau, SPPP telah mengambil pelbagai inisiatif berimpak besar untuk membangunkan pelabuhan itu seperti penggunaan Sistem Pengurusan Trafik Perkapalan (VTMS) dan pelancaran CLA+ Invoice Financing. - DagangNews.com








