Julita Ilhani dilantik sebagai Pengerusi MCCD baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Julita Ilhani dilantik sebagai Pengerusi MCCD baharu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 NovDewan Pengarah Syarikat Malaysia (MCCD) mengumumkan pelantikan Datuk Julita Ilhani Datuk Seri Abdul Jabbar sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 11 November 2025.

 

MCCD dalam kenyataan hari ini berkata, mesyuarat sulung yang berlangsung awal November telah memuktamadkan pelantikan Julita dan memperkenalkan struktur eksekutif baharu, termasuk pelantikan Amarution Nadaraja sebagai Timbalan Pengerusi, disokong oleh barisan Majlis serta Sekretariat baharu untuk memacu agenda transformasi organisasi.

 

Menurut Dewan, Julita merupakan seorang profesional berpengalaman dalam bidang perundangan dan korporat dengan kepakaran dalam tadbir urus, mediasi, pembangunan dasar serta penasihat Lembaga Pengarah. 

 

Latar belakang beliau meliputi amalan guaman, pengarah korporat, akademik dan peranan aktif dalam NGO nasional, menjadikannya individu yang berupaya menerajui hala tuju baharu MCCD sebagai platform pemerkasaan pengarah, pembuat dasar dan peneraju industri.

 

MCCD berkata, fokus transformasi ini amat signifikan memandangkan lebih 1.2 juta PKS yang merangkumi 97% daripada jumlah perniagaan negara, menyumbang 38% kepada KDNK, 48% guna tenaga, serta mewakili 17% eksport Malaysia. 

 

Angka-angka ini menurut Dewan, menggariskan keperluan mendesak kepada penyelarasan dasar, peningkatan daya saing dan sokongan menyeluruh terhadap sektor PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi.

 

Sehubungan itu, MCCD akan memimpin penubuhan Majlis Bertindak PKS MADANI (MBPM), satu platform pemuafakatan awam–swasta yang menghimpunkan NGO ekonomi, peneraju industri, akademik dan rakan korporat bagi merapatkan jurang antara dasar kerajaan dan pelaksanaannya di peringkat PKS.

 

“Kami komited memastikan pelaksanaan dasar benar-benar menghasilkan impak yang dapat dirasai usahawan,” katanya.

 

Dalam kenyataan hari ini, Julita berkata, MBPM akan memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing PKS, transformasi digital serta penyertaan dalam ekonomi hijau dan sosial, selaras Kerangka Ekonomi MADANI.

 

“Usaha ini akan memperkasa perusahaan Malaysia untuk muncul sebagai ‘Jaguh PMKS Serantau’, berteraskan kelestarian dan inovasi,” katanya.

 

Menurut MCCD, Majlis Bertindak PKS MADANI yang dijadual dilancar pada penghujung 2025 menandakan era baharu bagi Dewan, era yang mengutamakan tadbir urus berkesan, kolaborasi nasional dan pembangunan ekonomi mampan.

 

Dipandu aspirasi MADANI, MCCD berkata pihaknya komited membina Malaysia yang makmur, inklusif dan berdaya tahan dengan memastikan para pengarah syarikat serta PKS bergerak seiring sebagai pemacu pertumbuhan negara. - DagangNews.com