Jualan Top Glove diramal naik pada 4QFY25 disokong kejelasan dasar tarif AS - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Top Glove diramal naik pada 4QFY25 disokong kejelasan dasar tarif AS - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Jualan Top Glove Corp Bhd pada 4QFY25 dijangka naik disokong kejelasan yang semakin baik mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan penyusutan inventori pelanggan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, strategi penetapan harga kekal sebagai pemacu utama jualan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi kekal berdaya saing, kumpulan itu sedang melaksanakan langkah penjimatan kos secara berterusan untuk memastikan produknya ditawarkan pada harga yang menarik berbanding pengeluar sarung tangan dari China, terutamanya di pasaran bukan AS.

 

"Kadar penggunaan kilang berada pada 65% pada Jun 2025. Pendedahan Top Glove kepada pasaran AS meningkat kepada 26% daripada jumlah jualan 3QFY25, berbanding 23% pada 2QFY25.

 

"Top Glove juga menangguhkan rancangan pengembangan ke Vietnam buat masa ini, bergantung kepada dasar tarif AS dan keadaan pasaran," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERAKITAN: Untung bersih Top Glove pada 3QFY25 susut 31% kepada RM34.7 juta akibat saingan sengit

 

Maybank IB berkata, kadar penggunaan kilang kumpulan itu akan bertambah baik pada 4QFY25 dengan jangkaan aktiviti penambahan stok akan disambung semula berikutan kejelasan yang lebih baik mengenai dasar tarif AS dan penyusutan inventori.

 

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 sebanyak 19% hingga 52% dan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 70 sen daripada 73 sen.

 

"Kami bimbang terhadap persaingan yang semakin sengit, terutamanya daripada China (yang menyasarkan pasaran bukan AS) dan daripada kilang luar negara syarikat China yang memfokuskan kepada pasaran AS.

 

"Kami mengekalkan saranan "jual" dengan TP 70 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com