KUALA LUMPUR 21 Okt - Jualan sektor automotif Malaysia susut sebanyak 20% kepada 58,490 unit pada September, berbanding 67,302 unit pada Ogos, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi September adalah 22% lebih rendah berbanding 74,479 unit yang direkodkan pada Ogos.
"Penurunan TIV itu disebabkan cuti umum sepanjang bulan September serta sikap berhati-hati pengguna menjelang pembentangan Belanjawan 2026, termasuk menunggu perincian lanjut mengenai rasionalisasi subsidi petrol," katanya dalam satu kenyataan.
Dari segi perbandingan tahun ke tahun (YoY), MAA melaporkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 579,336 unit, menurun daripada 595,883 unit pada September 2024.
Bagi pengeluaran, MAA berkata, sejumlah 58,413 unit kenderaan dikeluarkan pada September 2025, meningkat 5.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Jumlah itu merangkumi 54,738 unit kenderaan penumpang dan 3,675 unit kenderaan komersial.
"Secara kumulatif, jumlah pengeluaran dari Januari hingga September ialah 552,129 unit, lebih rendah berbanding 593,045 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu," katanya,
MAA menjangkakan jualan pada Oktober akan meningkat semula, didorong permintaan lebih kukuh terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV).
Selain itu, kempen promosi hujung tahun yang giat dijalankan pengeluar kenderaan dijangka turut menyokong peningkatan jualan bulan berikutnya. - DagangNews.com








