Jualan runcit Malaysia diunjur naik pada suku pertama 2025, kata RGM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan runcit Malaysia diunjur naik pada suku pertama 2025, kata RGM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Jualan runcit Malaysia dijangka meningkat pada suku pertama tahun ini susulan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan pada tiga bulan terakhir 2024.

 

Menurut Retail Group Malaysia (RGM), ia mencatatkan sebanyak 3.5% pada Oktober-Disember 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

Katanya, pencapaian itu lebih rendah daripada unjuran awal iaitu 4.4% dan peningkatan 3.8% tahun ke tahun pada Julai-September 2024, sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup dan tempoh cuti sekolah yang pendek.

 

"Bagaimanapun, responden yang terdiri daripada para peruncit optimis, jualan akan meningkat berikutan perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah.

 

"Pengendali pasar raya dan gedung membeli-belah, serta sub-sektor fesyen khususnya, menyasarkan pemulihan yang kukuh pada suku pertama," jelas firma penyelidikan industri itu dalam laporan terbaharunya. 

 

Tambahnya, kadar pengangguran kekal stabil pada suku terakhir 2024 pada 3.2%, hampir dengan paras 3% yang dianggap sebagai kadar pengangguran penuh oleh para ahli ekonomi. 

 

RGM berpendapat, kadar inflasi purata berada pada paras terkawal iaitu 1.8% sepanjang suku tersebut.

 

Namun katanya, pengguna dijangka menghadapi kenaikan kos sara hidup, dengan langkah-langkah dasar termasuk rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 yang banyak digunakan menjelang pertengahan 2025 dan kenaikan tarif elektrik.

 

"Walaupun 85% daripada isi rumah Malaysia akan terus menikmati subsidi kerajaan untuk penggunaan elektrik, perniagaan akan menanggung kos operasi yang lebih tinggi akibat kenaikan ini.

 

"Perniagaan runcit kemungkinan akan memindahkan kos ini kepada pengguna akhir," jelasnya.

 

Bagi keseluruhan tahun 2025, RGM menaikkan ramalan pertumbuhan jualan runcit kepada 4.3% berbanding 4.0% yang diunjurkan pada November 2024. 

 

Pada tahun 2024, jualan runcit meningkat sebanyak 3.8%.

 

Menurut RGM, pengendali makanan dan minuman di Malaysia dijangka menghadapi kesukaran dengan peningkatan kos operasi serta kelemahan ringgit yang meningkatkan harga bahan mentah dan bahan masakan.

 

Jelasnya, selain itu, boikot berterusan terhadap beberapa francais antarabangsa akibat konflik Israel-Palestin di Asia Barat, dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, yang mungkin membawa kepada lebih banyak penutupan sementara dan kekal cawangan di seluruh negara. - DagangNews.com