KUALA LUMPUR 21 Mac - Jumlah jualan kenderaan dijangka menyusut pada suku pertama 2025 berikutan pesanan tertunggak yang semakin berkurangan, berikutan jumlah volum industri (TIV) tertinggi yang dicapai pada tahun sebelumnya.
RHB Research berkata, TIV tahun sehingga kini pada 113,100 unit membentuk 15.5% daripada unjuran 2025 sebanyak 730,000 unit, sejajar dengan jangkaan.
Jumlah itu melonjak 30% pada asas bulan ke bulan pada Februari 2025, memandangkan jumlah terendah bermusim yang dicatatkan pada Januari tetapi menurun sebanyak 2% setiap tahun.
"Prestasi kukuh bulanan dilihat untuk semua jenama seperti Honda (105%), Perodua (35%), Toyota (23.2%) dan Proton (14.2%), yang diimbangi Nissan (12.4%) dan Mazda (9.8%).
"Januari 2025 merupakan bulan bekerja yang lebih singkat dengan kedua-dua cuti Tahun Baru dan Tahun Baru Cina berlaku ketika itu," katanya dalam satu nota kajian.
Bagi Mac 2025, firma penyelidikan itu menjangkakan TIV meningkat, didorong pengeluar kereta meningkatkan jualan melalui promosi musim perayaan yang agresif menjelang Hari Raya Aidilfitiri pada bulan hadapan.
"Memandangkan TIV setakat ini sangat lemah iaitu sebanyak 14.3%, kami percaya ia akan menurun pada suku pertama.
"Ini menyokong jangkaan kami berlaku kemelesetan kitaran dalam sektor itu, disokong pesanan tertunggak yang berkurangan untuk pengeluar kereta utama," katanya.
Mengenai pendapatan korporat pada suku keempat 2024, RHB Research berkata, Sime Darby Bhd, Tan Chong Motor Holdings Bhd dan Bermaz Auto Bhd terlepas ramalan manakala keputusan MBM Resources memenuhi jangkaan.
Berdasarkan kekurangan pemangkin untuk memacu jualan dan pendapatan ke paras tertinggi baharu, RHB Research mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor automotif.
Sime Darby Bhd merupakan pilihan utama kerana ia berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani rasionalisasi subsidi RON95 dengan barisan kenderaan elektriknya yang luas.
Pegangannya dalam Perodua memberikan sedikit keseimbangan terhadap risiko pendapatan di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit di kalangan jenama bukan nasional. - DagangNews.com








