KUALA LUMPUR 31 Jan - Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan baharu dianggar merosot 7% dari tahun ke tahun kepada 760,000 unit pada 2025 berbanding 816,674 tahun lepas, kata CIMB Securities.
Katanya, unjuran lebih rendah itu disebabkan potensi halangan, seperti potensi penyasaran semula subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan berdaya tahan dalam segmen kenderaan bawah RM100,000, yang kekal didominasi jenama nasional dan memilih model peringkat permulaan daripada jenama Jepun," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menganggarkan, model kenderaan di bawah RM100,000 menyumbang sekurang-kurangnya 75% daripada TIV Malaysia pada 2024, dengan jenama nasional menguasai lebih 80% segmen ini, manakala jenama Jepun dan China merangkumi baki 20%.
"Kami menjangka permintaan ini kekal kukuh pada 2025, disokong pembeli kereta kali pertama, kenaikan gaji penjawat awam Disember 2024, dan persekitaran kadar faedah akomodatif yang dikekalkan oleh Bank Negara Malaysia," katanya.
CIMB Securities meramalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang agak stabil untuk tahun ini.
Katanya, OPR yang stabil dan rancangan kerajaan mengekalkan subsidi bahan api untuk 85% pengguna RON95 seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025 dijangka mengekalkan kemampuan untuk segmen pasaran besar-besaran.
"Hasilnya, kami menjangkakan jenama nasional mengekalkan penguasaan mereka, menguasai unjuran 64.5% bahagian pasaran, berbanding 35.5% bagi jenama bukan nasional pada 2025," katanya.
Firma penyeidikan itu mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor automotif tempatan berikutan prospek pertumbuhan yang lemah di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit daripada pemain China.
Katanya, pemangkin utama bagi sektor itu ialah pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun, pengurangan kadar faedah, dan dasar kerajaan yang menggalakkan yang bertujuan memulihkan permintaan domestik. - DagangNews.com








