KUALA LUMPUR 27 Ogos – Eastern & Oriental Bhd (E&O) menyasarkan jualan hartanah mencecah RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2026 (FY26), dipacu pelancaran projek baharu bernilai keseluruhan RM2.2 bilion.
Antara tarikan utama ialah pelancaran sulung projek Elmina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM990 juta, yang dijangka menjadi pemacu utama prestasi syarikat pada 2Q-3QFY26.
Menurut RHB Research, prestasi suku pertama FY26 E&O adalah sejajar dengan jangkaan, dengan pendapatan disokong projek sedia ada.
E&O merekodkan pendapatan suku pertama lebih rendah berbanding sebelumnya berikutan pelupusan Esca House di London bernilai RM75.4 juta pada 4QFY25.
Pendapatan pembangunan pula disokong oleh bil progres projek sedia ada seperti The Meg, Arica serta kediaman bertanah Senna & Fera di Pulau Andaman.
Nisbah hutang bersih meningkat sedikit kepada 0.63 kali berbanding 0.62 kali pada 4QFY25, sebahagian besarnya bagi pembiayaan kos pembinaan dan penambakan.
Walaupun jualan suku pertama agak perlahan pada RM153.5 juta berbanding RM247.4 juta pada suku sebelumnya akibat ketiadaan pelancaran baharu, projek seperti Conlay, Maris dan The Lume kekal sebagai penyumbang utama.
Menariknya, Conlay terus mendapat minat kukuh daripada pembeli asing, khususnya dari Taiwan.
Firma penyelidikan itu berkata, projek baharu bernilai RM2.2 bilion pada FY26 termasuk Senna & Fera Fasa 3 & 4 (GDV: RM306 juta) pada hujung Ogos dan kedai pejabat & rumah teres 3 tingkat Elmina (GDV: RM990 juta) pada 2Q-3QFY26,
Satu lagi projek ialah 16E, kondominium mewah bertingkat tinggi di Pulau Andaman (GDV: RM1 bilion) pada 3QFY26.
Firma itu menjangkakan pelancaran Senna & Fera serta hartanah bertanah di Elmina akan mendapat sambutan baik, namun jualan untuk 16E dijangka perlahan berikutan harga purata RM1,200 sekaki persegi dengan saiz unit 900-1,200 kaki persegi.
RHB mengekalkan saranan BELI terhadap saham E&O dengan harga sasaran (TP) RM1.17 – potensi kenaikan 40% – sambil menekankan prospek pertumbuhan syarikat kekal cerah dengan pelancaran projek besar sepanjang FY26. - DagangNews.com








