KUALA LUMPUR 19 Mac - Jentayu Sustainables Bhd, membatalkan pengambilalihan aset hidro di Sabah, lebih tiga tahun selepas satu perjanjian dimeterai pada September 2021.
Menurut Jentayu Sustainables, perjanjian pengambilalihan Senja Optima Sdn Bhd, Telekosang Hydro One Sdn Bhd dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd telah ditamatkan secara bersama pada 17 Mac 2025.
Telekosang Hydro One dan Telekosang Hydro Two memiliki dan mengendalikan projek loji janakuasa hidro Telekosang berkapasiti 40MW.
Sementara itu, Senja Optima memiliki 70% dalam kedua-dua syarikat tersebut, manakala 30% lagi dimiliki oleh Inno Hydropower (T) Sdn Bhd.
Jentayu Sustainables berkata, pada Januari 2025, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menolak permohonan kumpulan tersebut untuk mendapatkan lanjutan masa bagi menyelesaikan perjanjian berkenaan.
Sejurus itu, kumpulan berkata, ia telah mengadakan perbincangan dengan pihak penjual dan mereka telah memutuskan untuk menamatkan perjanjian tersebut secara bersama.
"Keputusan ini dibuat memandangkan potensi kos tambahan untuk penghantaran semula kepada SC, jangkaan kelewatan dan ketidakpastian mengenai garis masa penyelesaian pengambilalihan aset hidro yang dicadangkan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Di bawah perjanjian tersebut, Jentayu Sustainables sepatutnya memperoleh keseluruhan ekuiti dalam Senja Optima daripada Kasa Tuah Sdn Bhd dan Borneo Sustainable Sdn Bhd dengan nilai RM44.6 juta.
Kumpulan itu juga dijangka memperoleh keseluruhan saham keutamaan boleh tebus dalam Telekosang One dan Telekosang Two dengan nilai RM93.6 juta serta keseluruhan bon berisiko rendah dalam Telekosang One daripada Jentayu Capital Sdn Bhd bernilai RM38.1 juta.
Daripada jumlah pertimbangan tunai dan saham berjumlah RM173.25 juta, sebanyak RM160.3 juta sepatutnya dipenuhi melalui penerbitan saham baharu dalam kumpulan tersebut.
Perjanjian berkenaan dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan kerana vendor-vendor dimiliki oleh Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin dan isterinya, Datin Nurhaida Abu Sahid, yang merupakan anak perempuan Pengerusi Eksekutif Maju Group dan bekas pemegang saham utama Jentayu Sustainables, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
Pengambilalihan aset hidro yang kini terbatal itu, adalah sebahagian daripada usaha kumpulan tersebut untuk menjadi syarikat tenaga boleh diperbaharui tulen.
Seiring dengan pembelian ekuiti aset hidro, Jentayu Sustainables juga mencadangkan untuk mengambil alih Jentayu Solar Sdn Bhd, yang memiliki dan mengendalikan loji kuasa solar 5.99MW di Pokok Sena, Kedah. - DagangNews.com








