Jawatankuasa Maritim Malaysia semak semula undang-undang perkapalan dan penswastaan pelabuhan, kata MOT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jawatankuasa Maritim Malaysia semak semula undang-undang perkapalan dan penswastaan pelabuhan, kata MOT

Pelabuhan Pulau Pinang - Gambar/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan akan menyemak semula perundangan yang merangkumi penswastaan pelabuhan dan pihak berkuasa pelabuhan, serta undang-undang perkapalan di negara ini sebagai sebahagian daripada penubuhan Jawatankuasa Semakan dan Reformasi Undang-undang Maritim (MLRCC) Malaysia.

 

Kementerian Pengangkutan berkata, jawatankuasa tersebut, akan melaksanakan proses semakan dan reformasi undang-undang maritim secara berfasa sehingga tahun hadapan.

 

Ia kemudiannya akan mencadangkan penambahbaikan terhadap undang-undang maritim yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

 

Instrumen perundangan yang terlibat termasuk tiga Ordinan Perkapalan Saudagar yang merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; Akta Pelabuhan (Penswastaan); Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan; dan Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

 

Ordinan perkapalan saudagar itu merangkumi perkara seperti pendaftaran dan pemilikan kapal, hal ehwal anak kapal, peraturan pelayaran, liabiliti dan insurans maritim, tanggungjawab Malaysia ke atas kapal yang mengibarkan benderanya, pemeriksaan kapal asing di perairan Malaysia, serta penggabungan perjanjian maritim antarabangsa.

 

Pihak berkuasa pelabuhan di negara lain juga ditadbir melalui akta yang berasingan seperti Akta Lembaga Pelabuhan Klang, Akta Lembaga Pelabuhan Johor, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Akta Lembaga Pelabuhan Kuantan. Akta-akta itu tidak termasuk dalam semakan awal.

 

“Sebagai sebuah negara dagang yang sangat bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan — dengan 94.6% daripada perdagangan dijalankan melalui laut — Malaysia memerlukan undang-undang maritim yang berkesan, relevan dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

 

Jawatankuasa itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Hakim Mahkamah Tinggi (Admiralti), Ong Chee Kwan sebagai timbalan pengerusi.

 

“MLRRC terdiri daripada 23 ahli tetap, yang merangkumi wakil-wakil daripada kementerian/jabatan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, pengamal undang-undang, ahli akademik, agensi penguatkuasaan, wakil industri serta bekas pegawai kanan kerajaan.

 

“Bagi memperkukuh kepakaran teknikal, lapan pakar ad-hoc turut dilantik, meliputi bidang seperti perkapalan, operasi pelabuhan, latihan maritim dan undang-undang perkapalan antarabangsa,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com