Jabatan Imigresen bakal peroleh 600 kamera badan, tangani isu integriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Imigresen bakal peroleh 600 kamera badan, tangani isu integriti

KUALA LUMPUR 24 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal memperoleh 600 kamera badan (body-worn cameras) untuk pegawai Jabatan Imigresen dalam usaha menangani isu integriti.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemerolehan tersebut akan dibuat pada 28 April ini dan ia merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani isu integriti selepas menerima laporan daripada Ketua Pengarah Imigresen.

 

“Beliau (Anwar) mahu kamera badan digunakan dan apabila Ketua Pengarah memaklumkan kepada saya, saya terus arahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk mempercepatkan proses ini.

 

“Pemerolehan akan dibuat pada 28 April ini dan kita akan sediakan 600 (kamera badan). Insya-Allah, kita boleh selesaikan lebih banyak kes integriti,” katanya dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

 

Saifuddin berkata, Anwar sentiasa menekankan kepentingan profesionalisme dalam kalangan agensi penguatkuasaan.

 

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, bermula Jun ini, kaunter manual di kebanyakan lapangan terbang seluruh negara akan digantikan dengan sistem autogate bagi mengurangkan kesesakan.

 

“Sistem autogate ini akan menjadikan perjalanan lebih pantas," katanya.

 

Pada masa yang sama, Saifuddin berkata semasa majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang kementerian pada 23 April lalu, beliau telah menyampaikan amanat penghargaan Anwar kepada kakitangan KDN atas khidmat mereka semasa lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini.

 

“Anwar menyatakan beliau amat terharu dan jika kita dapat mengekalkan momentum ini, insya-Allah, hasrat Perdana Menteri untuk melihat negara diangkat martabatnya akan tercapai,” tambah Saifuddin.

 

Lebih 7,000 kamera badan telah diperkenalkan untuk digunakan di 157 ibu pejabat polis daerah dan 640 balai polis di seluruh negara tahun ini.

 

Selain polis, pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mula menggunakan 100 kamera badan pada tahun ini.

 

Penggunaan kamera badan ke atas pegawai penguat kuasa bertujuan mengurangkan rasuah dan menangani isu integriti dalam kalangan anggota. - DagangNews.com