ITMAX peroleh kontrak kelima RM30.2 juta bagi pemasangan CCTV di Johor daripada Majlis Perbandaran Pengerang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX peroleh kontrak kelima RM30.2 juta bagi pemasangan CCTV di Johor daripada Majlis Perbandaran Pengerang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Mac - ITMAX System Berhad menerusi anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM30.2 juta daripada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

 

Menurut kontrak tersebut, ITMAX bertanggungjawab dalam mereka bentuk, pemasangan dan penyelenggaraan pusat operasi pintar bersepadu serta sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan (AI) di kawasan Pengerang.

 

"Kontrak ini berlangsung selama 180 bulan dengan model langganan bulanan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, kontrak daripada MPP itu adalah kontrak kelima melibatkan pengawasan video AI yang diraih syarikatnya di Johor.

 

Katanya, ia mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada rumusan bandar pintar ITMAX dan seterusnya mengembangkan kehadiran syarikat di negeri tersebut. 

 

"Sistem pengawasan video berasaskan AI kami akan menyokong pihak majlis dalam meningkatkan kecekapan operasi dengan kos yang lebih jimat.

 

"Selain memberikan pendapatan jangka panjang kepada kumpulan, kontrak ini selaras dengan komitmen kami untuk memajukan inisiatif bandar pintar dan mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan lebih terhubung," jelasnya. - DagangNews.com